Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak rangka Pelan Induk PPP 2026–2035, tarik pelaburan swasta dalam projek awam
  • SEMASA

DUN: Sarawak rangka Pelan Induk PPP 2026–2035, tarik pelaburan swasta dalam projek awam

Utusan Sarawak 2 hours ago
Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta (PPP) 2026–2035, satu kerangka komprehensif yang bakal membuka ruang lebih besar kepada penyertaan sektor swasta dalam pembiayaan dan pelaksanaan projek pembangunan negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pelan jangka panjang itu akan menjadi panduan utama dalam merangka model kerjasama awam–swasta yang lebih tersusun, berstruktur dan berimpak tinggi.

Menurutnya, keperluan kerangka PPP yang jelas menjadi semakin mendesak berikutan permintaan tinggi terhadap infrastruktur moden, kemajuan ekonomi digital serta pembangunan wilayah yang memerlukan sumber pembiayaan lebih besar daripada apa yang mampu dibiayai kerajaan melalui kaedah tradisional.

“Kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada dana awam semata-mata untuk membiayai semua projek besar. Model PPP membuka ruang kepada pelaburan swasta, mempercepat pelaksanaan projek dan mengurangkan tekanan ke atas fiskal negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang DUN, hari ini.

Pelan itu, kata beliau, turut menyediakan garis panduan institusi, strategi pemilihan projek, model perkongsian risiko, serta mekanisme perlindungan kepada kerajaan dan rakyat bagi memastikan semua projek PPP dijalankan secara telus serta memberi pulangan optimum.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, berkata Pelan Induk PPP akan melibatkan sektor berkeutamaan termasuk infrastruktur pengangkutan, air, utiliti, digital, agroindustri, kesihatan dan pendidikan sektor yang memerlukan pelaburan besar tetapi menawarkan pulangan jangka panjang dan manfaat ekonomi ketara.

Uggah berkata pendekatan ini telah digunakan oleh banyak ekonomi maju untuk mempercepat pembangunan fizikal tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara. 

Sarawak kini melangkah ke arah model sama, selari dengan aspirasi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Pelan PPP ini bukan hanya kerangka pembiayaan, tetapi sebuah strategi memacu pembangunan negeri melalui penyertaan sektor swasta yang lebih aktif dan tersusun,” jelasnya.

Kajian penuh Pelan Induk PPP 2026–2035 dijangka siap menjelang Mac 2026, sebelum dibentangkan sebagai asas kepada projek generasi baharu yang memerlukan gabungan kepakaran awam dan swasta.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini akan membantu Sarawak mengurangkan kebergantungan kepada perbelanjaan tradisional, mengoptimumkan modal swasta, serta mempercepat pembangunan infrastruktur utama demi manfaat rakyat.

“Dengan pelan ini, Sarawak bersedia memasuki fasa pembangunan baharu yang lebih dinamik, lestari dan kompetitif,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak siap 1,127 projek pembiayaan alternatif, jalan persisir dan KUTS antara terbesar
Next: DUN: Sarawak perkenal garis panduan baharu urus aset biologi – pastikan ketelusan dan cegah salah guna

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.