
KERESAHAN anak muda, Ammar, yang terakam dalam naskhah “Bulan Rindu”, karya Dani Suhaimi, bertitik-tolak daripada rasa kosong, galau tentang makna dan hakikat hidup.
Premis yang menjadi tunjang naskhah ini sangat menjanjikan. Tema tentang pencarian diri dan haluan kerohanian selalunya meninggalkan impak positif.
Berhubung isu kemanusiaan dan ikatannya dengan kewujudan alam semesta menjuruskan kepada persoalan ketuhanan. Bakat kreatif yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia, sewajarnya bersendi dengan kesyukuran. Usaha pengarang menyelami aspek sedemikian wajar diberikan perhatian.
Namun, sebagaimana diungkapkan oleh SN Shahnon Ahmad menerusi eseinya, “Bakat Alam”, termuat dalam buku Pabila Hujan Turun, tentu sahaja yang ideal bagi seseorang sasterawan, adalah sentiasa sedar tentang kewujudan bakat alam dalam diri dan fitrah semula jadinya yang dianugerahkan oleh-Nya.
Bakat serta fitrah itu pula dipupuk oleh ilmu, lewat akalnya dengan metodologi pencarian ilmu yang berberaian lagi sistematik dan diselaraskan pula dengan peranan dan amanah yang dipegangnya sebagai khalifah-Nya di bumi.
Para sasterawan, tambah SN Shahnon Ahmad lagi, yang mengarang hanya bermodalkan bakat alam semata-mata, tanpa ilmu dan fitrah, pun sama sahaja dengan para sasterawan bermodalkan nafsu dan ilmu. Mereka sebenarnya bukan sasterawan, tetapi lebih sesuai bergelar penulis isengan sahaja.
Hidup pada masa kini yang serba menyeramkan, bakal memerangkap anak muda pada jaring sosial. Segala-galanya tampak menggiurkan pada pandangan.
Jika jiwa dan fikiran jauh terpeleset daripada agama, seseorang mudah terjebak dengan perangkap duniawi. Lalu apa yang perlu diisi dalam jiwa dan fikiran seseorang buat menempuhi perjalanan hidup?
Kekayaan tidak kekal, wajah yang tampan nantinya berkedut dan yang digenggam tangan kelak akan lenyap jadi debu. Itulah asas persoalan yang memberi inspirasi kepada pengarangnya.
Persoalan yang diungkapkan itu membawa manusia kembali kepada tujuan penciptaannya.
Ammar perlukan sokongan yang kuat buat menampung tiang spiritualnya. Apa yang dicari dalam hidup? Ke mana perginya manusia selepas meninggal dunia? Adakah sudah memadai mengerjakan sembahyang dan rukun yang lain?
Sudah tentu ada pencipta kepada alam serba indah ini. Seseorang yang berakal waras, rasional dan cerdas, sudah pasti menyakini sesungguhnya, bahawa alam ini dicipta Tuhan.
Bukan terjadi semula jadi atau terbentuk oleh Letupan Besar (The Big Bang). Kesedaran rohaniah begini amat mustahak kepada sesiapa pun juga supaya tidak terpengaruh dengan pemikiran yang bertunjangkan logik sains semata-mata.
Cinta Ammar bukan limpahan perasaan murahan. Tapi cinta yang menunjukkan tahap keimanannya. Terutamanya buat pesuruh Tuhan, Rasulullah SAW yang wajib dikasihi semaksimumnya oleh umat Islam.
Pemimpin dan tauladan agung sepanjang zaman. Insan paling mulia dan maksum di muka bumi sehingga ke langit, yang menjadi penghulu dan penutup sekian Nabi.
Demikian rasa kasih Ammar kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, air matanya bergenang dengan resapan cinta yang paling indah itu hingga ke akhir hayatnya.
Naskhah ini bernada positif. Tema yang diangkat juga menggambarkan sisi dalaman seseorang manusia yang mula berfikir arah yang wajib diikutinya.
Rasa kesal dan berdosa kerana mengabaikan suruhan dan perintah Allah, amat menusuk fikiran anak muda itu. Hidup seperti tiada maknanya dari hari ke hari. Apa yang terpampang indah pada panorama terlihat secara luarannya sahaja.
Mujurlah Ammar didampingi sahabat yang sering memotivasikan dirinya. Hafiz, teman mahasiswa di universiti yang sama, mengangkut ke atas kembali jiwa Ammar daripada terus terbenam di lautan kekecewaan dan kehampaan.
Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW. Hidupkan sunnah dan sentiasa mendekati diri dengan Tuhan.
Bulan yang direnung Ammar bukan semata-mata bulan. Tetapi ada peristiwa yang wajar diperhatikan dengan sesungguhnya.
Peristiwa yang amat besar nilainya. Hafiz mengungkit kembali kisah bulan yang terbelah sebagai membuktikan mukjizat Nabi Muhammad bukannya aksi sihir. Ia peristiwa yang menakjubkan dan pasti memperkuat keimanan umat Islam.
Nabi Muhammad dicabar oleh penduduk Mekah yang meminta bukti akan kerasulan baginda. Doa baginda dikabulkan oleh Tuhan.
Peristiwa yang berlaku lima tahun sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah digambarkan oleh Allah SWT dalam al-Quran, ‘‘Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.’’ (Surah al-Qamar, ayat 1).
Hidup tidak selalunya mendatar. Ammar yang berasa sedikit tergoncang kerana situasi ayahnya, seperti terlempar jauh di sebuah kawasan gersang. Keutuhan diri mulai retak.
Tangan ayahnya yang lemah dipegang dengan perasaan gementar. Terbayang hari-hari mendatang yang suram. Hal yang sedang dikhuatiri terasa menakutkan. Apalah erti menjadi manusia jika tidak diuji?
Ujian yang menimpa Ammar kecil jika dibanding dengan pengalaman ditempuhi oleh Nabi Muhammad SAW bersama-sama sahabatnya dalam usaha menyampaikan ajaran Islam.
Ketabahan Nabi Muhammad menegakkan yang haq dan benar walaupun berhadapan dengan cemuhan benar-benar menginsafkan Ammar.
Pengarang naskhah, Dani Suhaimi, memilih subjek yang menarik tentang kemelut jiwa anak muda.
Walaupun kisahnya disampaikan dengan sederhana, kurang mendalam dan terperinci, namun, apa yang hendak ditumpukan ialah tentang pencarian cinta yang bermakna.
Penerokaan ke dalam jiwa dan fikiran Ammar terlalu tipis sedangkan beban yang ditanggungnya harus disorot dengan pendekatan psikologi. Kekacauan dan kekosongan jiwa Ammar tidak diungkapkan dengan menyakinkan.
Hal itu menyebabkan naratifnya terasa belum benar-benar menjangkau pergolakan dan dilema yang dialami anak muda serba rapuh itu.
Sesiapa pun juga umat Islam yang menyakini agamanya, wajib meletakkan Nabi Muhammad di tempat teratas (bukan memuja secara berlebih-lebihan). Cinta yang wajib ada pada setiap umat Islam.
Cinta yang tidak boleh diatasi oleh sesiapa pun. Cinta yang lebih utama. Ammar ialah contoh terbaik golongan muda. Dia terselamat daripada kemurungan sia-sia apabila didampingi seorang sahabat terbaik.
Jika seseorang jauh daripada Tuhan, maka, semakin berserabutlah arah jalan dilaluinya.
Kehadiran Hafiz mencerahkan semula penglihatan batin dan menaikkan semangatnya agar reda dengan takdir dan apa-apa sahaja ujian. Mulut Ammar tidak henti-henti berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Jika naskhah ini ditulis dengan sedikit lebih sabar dan dibantu pula dengan penerokaan kejiwaan ke atas protagonis, pasti kesan dan sentimen kerohaniannya lebih terasa mencengkam.
Anak muda seperti Ammar sedang berhadapan dengan krisis hidup di sekeliling masyarakat yang kian dikikis oleh bahana kemodenan. Apakah yang menyebabkan jiwa Ammar tiba-tiba dihempap keresahan?
Situasi di universiti mempengaruhi keadaan dirinya? Atau kejahilan yang mendorong Ammar mengabaikan perintah agama? Teknik penulisan tunjukkan dan jangan nyatakan (show don’t tell) amat membantu untuk menjadikan cerita terasa mengalir organik dengan perincian yang menyentuh emosi dan deria pembaca.
Tema yang baik dan pesan yang positif juga menuntut penceritaan yang menarik. Bukan sekadar untuk menghiburkan pembaca atau melarutkan emosi mereka, tetapi untuk membuktikan betapa kesusasteraan mampu menampung segala topik permasalahan di dunia ini.
Hal itu mengingatkan kembali ungkapan oleh SN Shanon Ahmad tentang fungsi kesusasteraan. Dengan bantuan ilmu dan pembacaan beberapa bidang, jangkauan keperihalan kemanusiaan akan menjadi lebih luas dan keterampilannya dalam kreativiti semakin rencam dan ruwet.
Hanya dengan kedalaman renungan dan keseriusan pemerhatian, seseorang pengarang mampu memahami kompleksiti tentang keperihalan kemanusiaan.
Langit mendung yang dipandang oleh Ammar bukan hanya berlaku ke atas dirinya seorang. Ramai lagi anak muda yang masih teraba-raba di persimpangan jalan yang berkelip-kelip dengan lampu aneka warna.
Pada saat anak muda terjatuh di tengah jalan pada malam gelap dan berseorangan, siapakah yang datang menghulurkan tangan? Ammar perlukan seseorang yang menyuluh kepada jalan kebenaran yang didambakannya.
Kebenaran hakiki yang lebih bercahaya daripada terangnya sinaran matahari. Cinta Ammar kepada junjungan Nabi Muhammad SAW jelas terakam pada naskhah tulisan Dani Suhaimi, rasa cinta itu lebih mempesonakan dan melengkapi keimanan dalam diri umat Islam.
Secara ringkasnya, naskhah “Bulan Rindu”, mengambil ibrah daripada peristiwa terbelahnya bulan dan pembuktian kerasulan Nabi Muhammad bukanlah sebuah pendustaan.
Segala-galanya atas izin dan rahmat Tuhan. Sama ada seseorang mempercayai atau menaruh curiga pada kebenarannya, mukjizat Nabi Muhammad sudah pun dilakukan, peristiwa luar biasa itu terakam dalam al-Quran dan hadis sahih.
Ammar yang tersentak dengan riwayat itu bertambah rasa cinta dan rindunya kepada Nabi Muhammad SAW. Betapa bermaknanya hidup sebagai manusia. Dan yang paling mustahak ialah seseorang itu sedar akan matlamat akhir hidupnya.
‘‘Allah SWT menghendaki kita menjalani kehidupan dengan penuh keyakinan kepada-Nya. Kita sepatutnya sedar bahawa sebarang kemajuan saintifik hanya berlaku dengan kekuasaan Allah SWT, justeru seharusnya penemuan sains meningkatkan keyakinan kita tentang kewujudan Allah SWT. Walaupun begitu, lazimnya, yang sebaliknya berlaku. Semakin masa berlalu, kita semakin meletakkan keyakinan pada kudrat manusia dan menjauhkan diri daripada Allah SWT.
Meskipun Allah SWT telah memperlihatkan dengan nyata bahawa semua kejadian yang berlaku di alam semesta ini telah wujud terlebih dulu dalam ilmu-Nya, sebelum ia terjadi, masih juga terdapat segelintir yang mendakwa insan bijaksana, berupaya menghasilkan sesuatu dengan kudrat diri sendiri.’’ – dipetik daripada Bab 3, “Makna Kehidupan Seorang Mukmin”, buku Detik Berakhirnya Segala Kepalsuan, karangan Shaykh Muhammad Mutawalli Asy-Sha’rawi, terbitan Pelima Media, 2014.
Hafiz yang mendampingi Ammar mengajak sahabatnya itu agar mengenali hakikat seorang insan. Hidup ini ada yang mengawalnya.
Kesedihan, kehilangan dan kekecewaan dalam hidup tidak semuanya mampu dipulihkan dengan menelan pil. Demikian Ammar yang lebih memilih untuk mendekati dirinya dengan Tuhan.
Merasakan dirinya lebih damai, tenteram dan dilindungi ketika berada di dalam rumah Tuhan, masjid. Dan tugas dia pula untuk meriwayatkan peristiwa bulan yang terbelah dua untuk membuktikan bahawa agama yang diperintahkan untuk diimani itu ialah agama yang terjamin kebenarannya. Bukan ciptaan manusia.
Dalam buku Falsafah Ketuhanan, Buya Hamka, (terbitan Jejak Tarbiah, 2019), ulama terbilang Nusantara itu menulis dengan sebuah tamsilan yang penuh menginsafkan akan hakikat kewujudan manusia, ‘‘Kehidupan manusia itu sendiri tidak dapat dipisahkan dengan alam. Oleh sebab itu, yang pertama muncul pada manusia adalah perasaan bahawa ada sesuatu yang menguasai alam ini. Kesan pertama bahawa ada Yang Maha Kuasa itu, merata pada seluruh manusia kerana kesan ini tumbuh apabila akalnya mulai berjalan. Bahawasanya ada suatu kekuatan tersembunyi di latar yang tampak ini, yang selalu terasa ada, tetapi tidak dapat ditunjukkan tempatnya.’’
Sastera memerlukan tema-tema pencarian diri dan merenungi alam yang terbentang luas ini. Manusia tidak hidup secara kebetulan di muka bumi.
Tema sedemikian akan mendorong seseorang pengarang secara tidak langsung bermuhasabah tentang keberadaan manusia di atas muka bumi. Alam yang luas tidak terjangkau ini sudah tentu ada pentadbirnya.
Pengarang yang tajam pemikirannya akan menjadikan naskhah itu sebagai medium dalam menyampaikan dakwah. Mengapa tidak?
Walaupun tema cerpen lebih menjurus kepada rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW, namun, sudah tentu ada pesan-pesan kerohanian yang menjelma di sebalik mukjizat yang menyaksikan bulan terbelah dua.
Sehingga ke tahap pembuktian yang sebegitu dahsyat untuk membuktikan kerasulan, apakah yang menghalang seseorang untuk menafikan kebenaran kejadian itu?
Watak Ammar, ialah contoh anak muda yang menyerahkan dirinya dengan penuh keikhlasan kepada Nabi Muhammad SAW. Itulah amanat utama pengarangnya.
Naratifnya mungkin biasa sahaja. Mungkin ada yang beranggapan bahawa Ammar agak terlalu dramatik, tetapi urusan keagamaan dan keimanan, memang menuntut seratus-peratus rasa pengabadian.
Bukan dibuat-buat atau dilakukan dengan separuh hati. Itulah yang dibuktikan oleh Ammar dengan sesungguhnya. Doanya yang paling tulus agar dipertemukan dengan Nabi Muhammad SAW yang dirindui oleh semua penganut agama Islam.
Tiada yang lebih bererti daripada dipertemukan dengan Baginda Rasulullah SAW. Sebuah cinta yang ideal, diwajibkan dan akan disematkan dalam jiwanya sehingga diangkat ke langit.
Oleh Roslan Jomel