
KUCHING: Usaha memperkukuh peranan komuniti dalam pembangunan mampan diteruskan apabila Sarawak CSO-SDG Alliance dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganjurkan Bengkel Pembangunan Kapasiti Data Dijana Rakyat selama dua hari di Sarawak OKU Skills Development Association (SOSDA), di sini.
Bengkel itu merupakan kesinambungan sesi taklimat pengukuran impak pada September lalu, selain meneruskan momentum daripada program Beyond SDG anjuran Malaysian CSO-SDG Alliance yang menekankan kepentingan bukti dari komuniti akar umbi dalam menilai kemajuan pembangunan negara.

Pengerusi Bersama Sarawak CSO-SDG Alliance, Gabriel Hii, berkata inisiatif tersebut penting bagi memastikan pengalaman sebenar masyarakat di lapangan tidak terpinggir dalam pelaporan pembangunan.
“Data dijana rakyat ialah langkah ke hadapan jika kita mahu kemajuan SDG yang berasaskan bukti dan berorientasikan hasil. Selama ini, impak sering diukur tanpa benar-benar menangkap realiti hidup masyarakat di lapangan.
“Dengan menyelaraskan amalan pengumpulan data komuniti dengan standard DOSM, kita memastikan kisah, cabaran dan penyelesaian komuniti Sarawak diiktiraf sebagai sebahagian daripada naratif pembangunan negara,” katanya melalui sebuah kenyataan media, hari ini.

Program itu turut memperkukuh kerjasama berterusan antara Malaysian CSO-SDG Alliance dan DOSM dalam menyelaraskan Data Dijana Rakyat dengan standard statistik kebangsaan, sekali gus membuka ruang agar data komuniti dapat melengkapi dan memperkukuh pelaporan SDG Malaysia.
Seramai lebih 30 wakil pertubuhan masyarakat sivil dari seluruh Sarawak menghadiri bengkel berkenaan yang memberi tumpuan kepada kefahaman mengenai kerangka statistik SDG Malaysia, standard metadata DOSM, metodologi penyelidikan, tadbir urus data, jurang indikator serta penyelarasan kajian komuniti dengan piawaian kualiti statistik negara.

Melalui sesi latihan dan perbincangan kumpulan, peserta menilai kaedah baharu untuk memperkemas rangka kerja pengumpulan data, menyeragamkan indikator dan memastikan keserasian dengan keperluan statistik nasional.
Bengkel itu menjadi satu lagi langkah penting ke arah membina ekosistem data SDG Malaysia yang lebih inklusif, tepat dan berpusatkan rakyat, selaras dengan usaha memastikan bukti akar umbi memainkan peranan besar dalam pembentukan dasar serta penilaian impak sebenar pembangunan.