
PETRA JAYA: Kes jenayah dalam talian di Sarawak meningkat ke tahap kritikal apabila sebanyak 3,022 kes dilaporkan setakat Oktober 2025, mengakibatkan kerugian mencecah RM96.3 juta, peningkatan besar berbanding tahun sebelumnya.
Data yang didedahkan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 2,271 kes dengan kerugian RM80.2 juta pada 2024.
“Peningkatan ini sangat membimbangkan kerana ia menggambarkan taktik penipuan semakin kompleks, agresif dan menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.
Beliau berkata peningkatan kes ini mewajarkan tindakan pencegahan yang lebih menyeluruh, termasuk memperluas pendidikan keselamatan siber kepada kumpulan rentan dan meningkatkan kesedaran tentang taktik penipuan digital.
“Sejak 2023, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) telah melaksanakan 15 kursus advokasi, termasuk Kefahaman Anti-Scam dan Literasi Digital untuk Wanita Warga Emas, yang telah meningkatkan tahap pemahaman keselamatan digital dalam kalangan masyarakat, dengan 92 peratus peserta menyatakan peningkatan kesedaran, “jelasnya.
Bagaimanapun, Fatimah berkata hasil data semasa menunjukkan program kesedaran mesti diperluaskan, memandangkan penjenayah siber kini menggunakan platform lebih canggih seperti aplikasi palsu, deepfake, penyamaran panggilan dan manipulasi psikologi.
“Isu ini menjadi lebih mendesak apabila warga emas dikenal pasti sebagai antara kumpulan paling terdedah kepada penipuan melalui panggilan telefon, WhatsApp, pautan palsu serta tindakan menyamar sebagai pegawai kerajaan.
“Kita tidak boleh biarkan masyarakat terus menjadi mangsa. Pendekatan bersepadu antara agensi keselamatan, bank, SKMM dan komuniti diperlukan,” tegasnya.
KPWK juga sedang menilai penambahan modul keselamatan digital dalam program komuniti, selain memperhalusi strategi komunikasi risiko untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat.
Beliau menambah bahawa usaha meningkatkan literasi digital adalah sebahagian penting dalam membangunkan daya tahan sosial, sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk mewujudkan masyarakat inklusif, berinformasi dan selamat.
Oleh Shahrul Qaizat