Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Jaminan makanan keutamaan Sarawak, belia perlu terajui pertanian moden
  • SEMASA

DUN: Jaminan makanan keutamaan Sarawak, belia perlu terajui pertanian moden

Utusan Sarawak 3 hours ago
Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menyampaikan ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Keselamatan makanan terjamin menjadi keutamaan kerajaan Sarawak dalam setiap perancangan pembangunan sektor pertanian dan perikanan negeri.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setiap dasar serta hala tuju kementerian mesti berpaksikan usaha memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi, stabil dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import.

“Keselamatan makanan adalah perkara paling penting. Apa sahaja yang kita lakukan, ia mesti kekal menjadi agenda teratas kerajaan,” katanya menyampaikan ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurutnya, transformasi sektor agromakanan juga bergantung kepada kemampuan kerajaan meningkatkan taraf hidup komuniti petani dan nelayan, selain memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan teknologi moden.

Beliau berkata majoriti petani dan pengusaha perikanan kini sudah berusia dan tidak lagi seproduktif dahulu, justeru penyertaan golongan muda amat diperlukan untuk meneruskan kelestarian sektor berkenaan.

“Orang muda perlu mengambil alih. Untuk menarik minat mereka, sektor ini mesti diwujudkan sebagai satu kerjaya yang kondusif dan moden,” ujarnya.

Katanya, kerajaan sedang memperluas penggunaan teknologi seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), pembangunan taman agro, sistem ternakan moden dan aplikasi pemantauan berasaskan data bagi menjadikan pertanian lebih kompetitif serta bernilai ekonomi.

“Ini bukan pekerjaan yang sukar atau tradisional semata-mata. Dengan teknologi, pertanian mampu memberi pendapatan yang baik, dengan syarat ia dilakukan mengikut ekosistem dan saluran yang betul,” jelasnya.

Mengulas sasaran kerajaan menghasilkan 450,000 tan beras setahun, beliau berkata ia melibatkan kerja bersepadu antara agensi kerajaan, pembangunan tanah sesuai dan penggunaan teknologi yang lebih efisien bagi memastikan Sarawak memperkukuh bekalan beras sendiri.

Beliau memberi peringatan bahawa tanah yang dikhaskan untuk penanaman padi tidak boleh ditukar guna setelah infrastruktur disediakan, kerana beras merupakan makanan utama rakyat.

“Kita tidak mahu apabila semuanya telah dibangunkan, orang menukar penggunaan tanah. Beras ialah makanan kita, dan jaminan makanan mesti dipelihara,” katanya.

Dato Sri Dr Stephen turut mendedahkan kerajaan telah memuktamadkan model pembangunan padi yang merangkumi pembangunan, pengoperasian dan pemindahan teknologi, dan model itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Sementara itu, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak bagi mengkoordinasi industri padi secara menyeluruh termasuk pengeluaran, standard, pasaran dan potensi nilai tambah.

Menurutnya, pembaharuan struktur itu digerakkan seiring dengan pelaksanaan varieti padi baharu yang menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 30 peratus berbanding varieti MR297.

Varieti tersebut dibangunkan hasil kerjasama strategik dengan Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), melalui siri ujian yang membuktikan prestasi lebih tinggi dan lebih tahan terhadap keadaan cuaca.

“Varieti baharu ini akan diperkenalkan secara rasmi pada 2025 bagi tujuan adaptasi, tapak penilaian dan penanaman komersial. Ia merupakan satu lonjakan penting dalam usaha meningkatkan produktiviti padi negeri,” jelasnya.

Dr Rundi berkata peningkatan hasil itu penting bagi memastikan Sarawak tidak terlalu bergantung pada beras import, khususnya dalam keadaan geopolitik dan perubahan iklim yang memberi kesan ketara terhadap bekalan makanan global.

Menurutnya, kerajaan juga akan memperluas penggunaan teknologi pertanian moden seperti dron, IoT dan sistem pemetaan pintar bagi meningkatkan kecekapan operasi ladang serta mengurangkan kos.

“Transformasi industri padi mesti dilakukan secara menyeluruh dan melibatkan semua pemain industri termasuk belia serta pengusaha swasta,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penubuhan lembaga dan pelaksanaan varieti baharu ini adalah dua langkah kritikal yang akan menentukan masa depan jaminan makanan Sarawak dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Kes buli di Sarawak meningkat dramatik — 36 kes direkodkan pada 2025, tertinggi dalam empat tahun
Next: DUN: Sarawak kenal pasti 6,100 hektar tanah padi komersial, eksport sawit capai RM13.8 bilion

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.