Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Kes buli di Sarawak meningkat dramatik — 36 kes direkodkan pada 2025, tertinggi dalam empat tahun
  • SEMASA

DUN: Kes buli di Sarawak meningkat dramatik — 36 kes direkodkan pada 2025, tertinggi dalam empat tahun

Utusan Sarawak 2 hours ago
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini. 

PETRA JAYA: Sarawak merekodkan 36 kes buli dari Januari hingga Oktober 2025, menjadikannya jumlah tertinggi dalam tempoh empat tahun dan menunjukkan peningkatan ketara dalam isu keselamatan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata peningkatan mendadak ini amat membimbangkan, berbanding hanya 15 kes pada 2024, 20 kes pada 2023 dan 14 kes pada 2022.

Beliau berkata lonjakan hampir dua kali ganda itu menuntut tindakan segera dan koordinasi lebih mantap antara sekolah, komuniti, agensi penguatkuasaan dan ibu bapa untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada keganasan interpersonal.

“Kementerian melihat isu buli sebagai ancaman serius terhadap kesejahteraan kanak-kanak. Pendidikan pencegahan, advokasi dan pembudayaan empati mesti digerakkan secara lebih intensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.

Katanya, sebagai tindakan segera KPWK menganjurkan Wacana Bestari: Isu Buli Dalam Kalangan Kanak-Kanak pada 27 September 2025 bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Sekolah Henry Gurney dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.

“Program ini melibatkan 150 peserta dan bertujuan memperjelaskan peranan agensi serta mengukuhkan tatacara intervensi terhadap mangsa dan pelaku,”jelasnya.

Fatimah berkata, peningkatan kes buli turut berkait rapat dengan faktor psikososial, tekanan rakan sebaya, pendedahan kepada kandungan ganas digital dan kelemahan pengesanan awal dalam kalangan komuniti sekolah.

“Kita tidak boleh hanya bertindak apabila insiden berlaku. Intervensi awal, latihan kaunselor, pemerkasaan guru dan komunikasi terbuka dengan ibu bapa adalah bahagian penting dalam penyelesaian ini,” ujarnya.

KPWK turut menekankan bahawa sekolah perlu menjadi zon selamat, manakala komuniti pula perlu memainkan peranan sebagai pelindung utama kanak-kanak melalui penguatkuasaan peraturan serta sokongan emosi.

Beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus memperluas program kesedaran, memperkukuh sistem rujukan serta bekerjasama dengan agensi pendidikan dan keselamatan bagi memastikan isu buli dapat ditangani secara berkesan.

“Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama. Peningkatan 2025 ini mesti dijadikan amaran bahawa tindakan lebih tegas, menyeluruh dan berterusan perlu dilaksanakan,” tegasnya.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak gesa dua PUSPEN baharu – 960 penagih tunggu giliran, kapasiti sedia ada kritikal
Next: DUN: Jaminan makanan keutamaan Sarawak, belia perlu terajui pertanian moden

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.