Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak gesa dua PUSPEN baharu – 960 penagih tunggu giliran, kapasiti sedia ada kritikal
  • SEMASA

DUN: Sarawak gesa dua PUSPEN baharu – 960 penagih tunggu giliran, kapasiti sedia ada kritikal

Utusan Sarawak 2 hours ago
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menggesa pembinaan dua pusat pemulihan penagihan dadah (PUSPEN) baharu di zon tengah dan utara berikutan jumlah individu menunggu giliran pemulihan kini mencecah 960 individu, hampir tiga kali ganda melebihi kapasiti pusat sedia ada.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kapasiti PUSPEN ketika ini hanya mampu menampung 350 komuniti kepulihan, menyebabkan ramai penagih yang sudah mendaftar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan

“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kita perlukan dua PUSPEN tambahan dengan segera supaya proses pemulihan dapat dijalankan secara teratur dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.

Menurutnya, keperluan mendesak ini turut mengambil kira lonjakan kes penyalahgunaan dadah sintetik yang semakin mudah diperoleh dalam pelbagai bentuk produk harian, sekali gus menyukarkan pengesanan dan meningkatkan risiko penyalahgunaan dalam kalangan remaja.

Bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, Sarawak telah membekalkan dua unit Handheld Backscatter kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak untuk membantu pengesanan dadah jenis sintetik dengan lebih efektif.

Selain itu, KPWK turut menggesa agar kekerapan persidangan Mahkamah Litar ditingkatkan kepada tiga kali sebulan bagi mempercepatkan proses pertuduhan terhadap kes-kes berkaitan dadah, termasuk kes rokok elektrik mengandungi cecair terlarang yang kini meningkat kepada 20 kes melibatkan 26 tangkapan sejak 2023.

Fatimah menegaskan bahawa peningkatan jumlah penagih yang tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan merupakan petanda positif, namun usaha pemulihan tidak boleh berkesan tanpa kapasiti fasiliti yang mencukupi.

“Permintaan terhadap fasiliti pemulihan semakin tinggi. Ia menunjukkan kesedaran masyarakat bertambah, tetapi kerajaan perlu menyediakan prasarana mencukupi agar tidak ada individu yang terpinggir daripada proses pemulihan,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan negeri komited meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Sehenti Menangani Isu Dadah dan Substans (OSC-MIDS) bagi memperkukuh intervensi, pendidikan pencegahan, serta pemulihan berasaskan komuniti di seluruh Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: DUN: Belanjawan 2026 perkukuh transformasi pertanian – Stephen Rundi
Next: DUN: Kes buli di Sarawak meningkat dramatik — 36 kes direkodkan pada 2025, tertinggi dalam empat tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.