
HONG KONG, China: Hong Kong telah menahan 14 suspek dalam siasatan terhadap kebakaran paling dahsyat di bandar itu dalam beberapa dekad, selepas pihak berkuasa menemui jaring keselamatan “tidak mengikut piawaian” pada bahagian luar bangunan yang gagal menghalang api daripada merebak, menurut kenyataan semalam.
Angka korban yang mengejutkan dinaikkan oleh polis kepada 151 selepas lebih banyak mayat ditemui telah mencetuskan gelombang kesedihan di seluruh pusat kewangan China tersebut.

Kebakaran kediaman paling mematikan di dunia sejak 1980 itu berlaku pada Rabu di pangsapuri tinggi Wang Fuk Court di daerah utara Tai Po.
Api merebak pantas di permukaan blok pangsapuri yang diselubungi perancah buluh, jaring perlindungan dan papan buih sebagai sebahagian daripada kerja pengubahsuaian menyeluruh yang melibatkan hampir 2,000 unit.
Pegawai mengesahkan pada Isnin bahawa tujuh daripada 20 sampel jaring keselamatan yang diambil dari empat menara yang musnah gagal memenuhi piawaian keselamatan kebakaran.

“Kami percaya punca insiden ini berkemungkinan besar kerana jaring keselamatan tersebut tidak mencapai piawaian rintangan api, ditambah dengan penggunaan papan buih, yang meningkatkan tahap kemusnahan kebakaran,” kata Ketua Keselamatan, Chris Tang pada sidang media.
Badan pencegah rasuah Hong Kong dan polis, melalui siasatan bersama, menahan 14 individu, 13 daripadanya disyaki menyebabkan kematian tanpa niat.
Eric Chan, pegawai nombor dua Hong Kong, menyifatkan mereka sebagai “memalukan” dan “licik”, sambil mengatakan mereka bertindak “secara sengaja dan terancang”.
Menurutnya, suspek mencampur bahan jaring keselamatan yang tidak mengikut piawaian bagi menjimatkan kos, dan meletakkannya “di lokasi yang sukar untuk orang awam mengambil sampel”.
MENJADI ABU
Polis berkata pada Isnin bahawa pencarian di lima daripada tujuh menara yang terjejas telah selesai, dengan angka korban meningkat kepada 151 berbanding 146 sehari sebelumnya.
“Kami tidak menolak kemungkinan angka ini meningkat lagi,” kata Tsang Shuk-yin pada sidang media berasingan.
Daripada jumlah keseluruhan, 104 mayat telah dikenal pasti.
Dengan nada sebak, Tsang berkata “ada sisa yang telah menjadi abu,” menunjukkan sesetengah mayat mangsa yang dilaporkan hilang mungkin tidak akan ditemui.
Sisa-sisa mangsa ditemui di dalam unit pangsapuri, di lorong dan di tangga, kata polis, sambil menambah pemeriksaan akan diteruskan di menara selebihnya.
Foto polis menunjukkan dinding pangsapuri hangus hingga menjadi putih, manakala barangan dan perabot yang pecah berselerakan dan diselaputi jelaga.
Menurut konsulat masing-masing, seorang warganegara Filipina dan sembilan warga Indonesia turut terkorban, dengan 30 lagi warga Indonesia masih hilang.
Beberapa keluarga mangsa kembali ke Wang Fuk Court pada Isnin untuk memulakan upacara pengebumian tradisional yang dijangka berlanjutan hingga Selasa.
Sehingga malam Isnin, lebih 1,900 isi rumah telah memohon subsidi tunai kecemasan HK$10,000 (AS$1,280), manakala sekitar 2,400 orang menggunakan penempatan kecemasan kerajaan.
undang keselamatan buatan tempatan pada tahun lalu, yang meningkatkan hukuman bagi kesalahan hasutan sehingga maksimum tujuh tahun penjara. – AFP