Dato Sri John Sikie Tayai
PETRA JAYA : Kerajaan Sarawak bakal melaksanakan kawal selia senapang patah secara digital sepenuhnya melalui pembangunan Sistem e-Firearm tahun depan, sebuah pangkalan data berpusat yang akan menyimpan rekod lesen, permit serta permohonan pindah milik senjata berkenaan.
Menteri di Jabatan Premier, Dato Sri John Sikie Tayai berkata sistem baharu itu diwujudkan bagi meningkatkan integriti rekod pemilik senjata, memantapkan audit keselamatan dan mengurangkan risiko penyalahgunaan senjata api terutama di kawasan pertanian.
“Ini adalah transformasi penting dalam pengurusan keselamatan awam. Dengan sistem digital, pemantauan menjadi lebih sistematik dan efisien,” katanya ketika meggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
John Sikie berkata dasar semasa pemilikan senapang patah kekal tidak berubah, iaitu hanya boleh dipindah milik daripada ibubapa kepada anak lelaki atau perempuan, dan penggunaan senjata itu hanya dibenarkan untuk melindungi hasil pertanian.
Kerajaan negeri bagaimanapun bersedia menilai semula keperluan ‘Permit Membawa dan Menggunakan’ sekiranya terdapat perkembangan baharu dalam tahap keselamatan negeri.
Beliau berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan pemilikan senjata berada dalam kawalan rapi tanpa menjejaskan keperluan komuniti luar bandar.
“Sistem e-Firearm akan memudahkan proses seperti permohonan pindah daftar lesen, pertukaran nama pemilik dan pemantauan permit penggunaan. Semua rekod akan disemak secara langsung oleh agensi berkaitan termasuk Unit Pentadbiran dan Unit Keselamatan Negeri.
“Digitalisasi ini bukan sekadar menyimpan data, tetapi memastikan keselamatan. Dengan sistem yang telus, kita boleh mengelakkan penyalahgunaan dan memperkukuh keyakinan rakyat,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT