Dato Sri John Sikie Tayai ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Jabatan Premier Sarawak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini. Foto UKAS
PETRA JAYA: Sarawak melangkah ke fasa baharu dalam pemodenan adat tradisi apabila Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) kini sedang memperhalusi, menambah baik dan menstruktur semula pelbagai Adat yang dianggap tidak lagi sesuai dengan perubahan sosioekonomi masa kini.
Langkah itu termasuk cadangan menggantikan amalan penjagaan berasingan (split custody) selepas perceraian, yang disifatkan membawa tekanan psikologi kepada ibubapa dan anak-anak.
Menteri di Jabatan Premier, Dato Sri John Sikie Tayai, berkata usaha modenisasi itu adalah keperluan penting kerana banyak adat yang diwarisi sejak ratusan tahun lalu tidak lagi mencukupi untuk mengatur hubungan masyarakat moden.
Beliau menjelaskan bahawa MAIS memberi fokus pada tiga komponen utama: reinterpretasi, penambahbaikan (enhancement) dan mewujudkan peruntukan baharu bagi mengisi kekosongan (lacuna) dalam adat.
“Banyak adat kita terbentuk pada zaman berbeza, ketika struktur masyarakat juga tidak sama seperti hari ini.
“Ada perkara yang diamalkan dulu sudah tidak relevan. Kita tidak menghapuskan adat tetapi memberi alternatif yang lebih selari dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.
John Sikie berkata reinterpretasi adat bertujuan menilai semula maksud asal sesuatu adat, terutama yang berkait dengan unsur spiritual atau kepercayaan lama, sebelum digantikan dengan peruntukan sekular yang masih mengekalkan nilai dan tujuan asal adat berkenaan.
Langkah itu memastikan adat kekal hidup dan dapat diguna pakai tanpa bercanggah dengan keperluan masyarakat moden.
Salah satu pembaharuan yang sedang dicadangkan ialah menamatkan amalan ‘split custody’ yang mana anak-anak dibahagi sama rata antara ibubapa selepas perceraian, kerana pendekatan itu sering menimbulkan tekanan mental, selain sukar dikuatkuasakan.
“MAIS mencadangkan satu pihak diberikan hak penjagaan penuh, manakala pihak satu lagi diberi akses lawatan dan tanggungjawab nafkah.
“Kita mahu keputusan yang lebih memihak kepada kesejahteraan anak. Jika mereka sudah remaja, hakim boleh bertanya kepada siapa mereka mahu tinggal,” jelas John Sikie.
Katanya, MAIS turut mengenal pasti beberapa kekosongan dalam adat seperti ketiadaan peraturan jelas mengenai pembahagian harta antara rumah panjang asal dan rumah panjang baharu yang dibina dalam lokaliti sama, serta status kesahihan adat terhadap individu yang diiktiraf sebagai pribumi bawah Ordinan Tafsiran.
“Sepanjang 2025, sejumlah 20 bengkel bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum diadakan bagi menyemak semula Adat Iban 1993, Adat Bidayuh 1994 dan Adet Kayan-Kenyah 1994.
“Proses semakan sudah memasuki fasa draf akhir dan telah dibentangkan kepada majlis pada 10 hingga 11 November lalu,”katanya.
MAIS juga memperluas program kesedaran melalui seminar dan simposium, termasuk Symposium Adat Bidayuh pertama yang menghimpunkan 409 pemimpin komuniti Bidayuh dari Kuching dan Serian, bertujuan memastikan adat yang sedang disemak dapat difahami dan dilaksana secara konsisten.
Oleh SHAHRUL QAIZAT