
KUCHING: Duo DJ EDM antarabangsa tersohor, Blasterjaxx, bakal menggegarkan pentas sambutan tahun baharu terbesar di Sarawak menerusi Borneoland Countdown Festival 2025, yang dijadual berlangsung pada 31 Disember di Kampung Budaya Sarawak.
Dikenali dengan persembahan berskala mega di festival dunia seperti Tomorrowland, Ultra dan EDC, kemunculan Blasterjaxx dijangka menjadi tarikan utama acara itu yang mensasarkan 20,000 pengunjung dalam meraikan detik masuknya 2026.
Pengarah Pengurusan Acara Astana Global Resources, Nurhisam Asaludin, berkata penganjuran festival itu disusun bagi membawa standard baharu dalam arena hiburan hujung tahun di Sarawak.
“Kami mahu Borneoland Countdown Festival berada pada tahap penganjuran yang sama dengan festival ikonik seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dari segi reputasi, pengalaman dan daya tarikan pelancong,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Borneoland Countdown Festival tidak mempunyai sebarang kaitan dengan festival lain yang pernah dianjurkan di Sarawak.
“Borneoland bukan festival muzik yang bermula dengan huruf ‘B’ satu lagi. Ia tidak melibatkan pasukan penganjur yang sama, tidak menampilkan line-up yang sama dan orang di belakang tabir juga langsung tidak sama. Ini adalah festival baharu dengan identiti, konsep dan hala tuju sendiri,” jelasnya.

Festival anjuran Solaris Sky Company denagn kerjasama Astana Global Resources itu bakal menampilkan barisan DJ antarabangsa lain termasuk Avao (Belanda), Acina (Jerman), Dimatik (Australia) dan DJ DNA (Sydney), selain penglibatan artis tempatan.
Dengan pentas berteknologi tinggi, sistem bunyi imersif, efek visual dan pertunjukan bunga api tepat detik tengah malam, festival tersebut disasarkan menjadi acara tahunan terbesar di Borneo, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab hiburan dan pelancongan serantau.
Tiket dijual bermula RM128 hingga RM268 melalui TicketMelon.
Mengulas mengenai pemilihan Kampung Budaya Sarawak (SCV) sebagai lokasi penganjuran, Nurhisam berkata SCV menawarkan kelainan yang tidak boleh didapati di tapak festival lain di Malaysia.
“SCV mempunyai suasana ‘alam’ yang unik. Kami tidak mahu pengunjung masuk sahaja ke tapak acara dan terus berada dalam suasana konsert.
“Di SCV, sebelum mereka tiba ke kawasan utama festival, sudah banyak elemen visual, budaya dan persekitaran menarik yang boleh mereka alami,” katanya.
Menurutnya, pengalaman itu menjadikan perjalanan masuk ke festival sebagai sebahagian daripada keseluruhan naratif hiburan, lebih imersif, lebih ‘hidup’ dan sangat berbeza daripada penganjuran konvensional.
Oleh Shahrul Qaizat