
DEMAK LAUT: Semangat kejiranan yang menjadi tunjang Rukun Tetangga (RT) sejak 1975 perlu terus diperkukuh melalui pendekatan lebih inklusif dan kolaboratif bagi memastikan perpaduan masyarakat kekal utuh di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri, Datuk Rosey Yunus berkata, ulang tahun ke-50 RT tahun ini bukan sekadar sambutan, tetapi pengiktirafan terhadap peranan besar organisasi itu sebagai pemangkin perpaduan negara.
“Sambutan Jubli Emas ini menandakan perjalanan panjang RT dalam membina jaringan kejiranan yang erat, memupuk kerjasama serta mengukuhkan perpaduan dari akar umbi sehingga ke peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Semarak Perpaduan sempena Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 Peringkat Bahagian Kuching, di sini, semalam.
Menurutnya, lebih 8,529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara termasuk 1,095 di Sarawak menjadi bukti kukuh kekuatan jaringan masyarakat yang sentiasa berganding bahu demi kesejahteraan bersama.
“Angka ini bukan sekadar statistik. Ia melambangkan semangat gotong-royong, kesukarelawanan dan komitmen masyarakat akar umbi yang tidak pernah patah semangat,” katanya.
Dalam ucapannya, Fatimah menegaskan keperluan meninggalkan mentaliti bekerja secara berasingan atau silo, sebaliknya mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam melaksanakan program perpaduan.
“Kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan amat penting agar kepakaran dan sumber dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menggesa RT meningkatkan penggunaan teknologi digital, memperluas penglibatan belia dan wanita serta menjadikan KRT sebagai platform pembangunan komuniti pintar dan inklusif.
Fatimah turut menggesa agar hubungan antara KRT dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus diperkukuh demi mengekalkan keharmonian di Sarawak.
“Kerjasama persatuan dan komuniti akar umbi amat penting untuk memastikan perpaduan terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga RT atas sumbangan mereka sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat, selain menyampaikan tahniah kepada penerima Anugerah Penghargaan RT 2025 atas kecemerlangan mereka sepanjang tahun ini.
Oleh Adele Rissa