
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak bersedia membawa pulang guru anak Sarawak yang kini mengajar di Semenanjung bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar di negeri ini, namun cabaran utama ialah faktor komitmen dan kehidupan peribadi mereka.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, kerajaan negeri menyokong usaha mengutamakan anak Sarawak untuk kembali berkhidmat di negeri ini, terutama dalam sektor pendidikan.
“Kita bersetuju dan kita mahu bawa orang kita dari Sarawak yang berada di tempat lain kembali ke Sarawak untuk mengajar anak-anak kita di sini,” katanya ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Namun, jelas beliau, terdapat halangan yang perlu difahami, terutama yang berkaitan dengan kehidupan keluarga.
“Tetapi ini semua tentang alam semula jadi manusia. Bagaimana jika mereka sudah berkahwin di Semenanjung? Mana ada yang mahu datang ke sini lagi? Perkara sebegini kita perlu tengok juga,” katanya.
“Hasrat kerajaan negeri untuk menerima semula guru tersebut tidak pernah dipersoalkan.
“Bukan kerana kami tidak mahu membawa mereka kembali. Kami sangat ingin,” jelasnya.
Tambah beliau, keputusan sebilangan guru Sarawak untuk kekal di Semenanjung bukan disebabkan dasar kerajaan, tetapi atas pertimbangan peribadi dan komitmen masing-masing.
Berhubung kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), beliau berkata perkara tersebut memerlukan penyelarasan lanjut bersama kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang mengambil kira kebajikan semua pihak.
Oleh Masrin Affirah