
APABILA monsun timur laut melanda, kawasan seperti pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah berdepan musim tengkujuh.
Fenomena ini berlaku kerana daratan yang panas menghasilkan kawasan bertekanan rendah, menyebabkan udara lembap naik ke atmosfera.
Udara ini seterusnya bertembung dengan udara sejuk dari Siberia yang dibawa oleh angin monsun dari Laut China Selatan. Akibatnya awan yang sarat dengan wap air akan terbentuk lalu menurunkan hujan lebat.
Sepanjang November hingga Mac, lokasi-lokasi berkenaan berisiko mengalami banjir besar serta kerosakan harta benda termasuk gangguan rutin harian akibat hujan, ribut petir dan angin kencang yang berlaku dengan intensiti tinggi serta lebih kerap.
Selain itu, cuaca buruk turut membawa cabaran besar kepada industri penerbangan serantau, terutamanya dalam usaha mengekalkan prestasi tinggi dari aspek keselamatan dan ketepatan jadual operasi yang sering terganggu.
Di samping itu juga, keselesaan serta kelancaran urusan penumpang juga akan lebih terjejas, sama ada akibat penundaan, pembatalan penerbangan, mahupun perubahan jadual mendadak yang menuntut penyesuaian segera.
Namun, cuaca sebegini sebenarnya bukanlah penghalang kepada keupayaan pesawat moden untuk terbang.

Pesawat komersial masa kini direka bentuk dan diuji untuk beroperasi dalam spektrum keadaan cuaca yang luas iaitu jauh melebihi apa yang lazim dihadapi dalam penerbangan rutin.
Pada asasnya, badan pesawat dibina daripada bahan komposit dan aloi berketahanan tinggi yang direka untuk menahan pergolakan udara ekstrem serta hentaman hujan lebat pada kelajuan tinggi tanpa menjejaskan integriti struktur pesawat.
Tidak hanya bergantung dengan ketahanan fizikal, pesawat turut dilengkapi dengan integrasi teknologi canggih yang bertindak sebagai sistem ‘deria’ dan pertahanan pesawat.
Setiap pesawat komersial besar ada dipasangkan dengan Radar Cuaca Doppler (DWR) berkeupayaan tinggi di muncungnya untuk memancarkan gelombang mikro bagi memetakan ribut petir dengan memantulkan titisan air dalam awan.
Selain itu, sistem navigasi seperti Sistem Pengurusan Penerbangan (FMS) dan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dibangunkan secara bersepadu dengan perlindungan elektromagnetik tinggi bagi memastikan bacaan kekal tepat dan boleh dipercayai walaupun ketika ribut melanda.
Pesawat juga direka untuk tahan dengan ancaman kilat dengan adanya ‘kulit’ yang dapat mengalirkan tenaga elektrik tanpa mengganggu sistem elektronik yang kritikal untuk penerbangan.
Oleh itu, pesawat tetap selamat dan terpelihara walaupun dalam cuaca ekstrem.
Akan tetapi, pesawat kecil dan ringan seperti Twin Otter lebih mudah terjejas oleh cuaca melampau berbanding pesawat komersial besar.
Saiz badan pesawat yang ringan dan sistem perlindungan cuaca yang terhad menjadikan ia lebih sensitif terhadap pergolakan udara, angin lintang dan hujan lebat.
Oleh itu, pesawat kecil lazimnya tidak diterbangkan ketika keadaan sebegini bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Keadaan cuaca yang tidak menentu ini sering membuatkan syarikat penerbangan berada dalam dilema.
Hal ini kerana pesawat perlu berada di udara bagi menjamin memperoleh keuntungan, namun apabila cuaca tidak mengizinkan, pilihan yang ada hanyalah menunda penerbangan sehingga keadaan reda atau membatalkannya terus.
Keputusan ini bukanlah dapat dibuat dengan mudah kerana setiap penangguhan atau pembatalan membawa akibatnya tersendiri terutama dari sudut kewangan.
Syarikat terpaksa menanggung kos ganti rugi penumpang, elaun lebih masa untuk kru sehingga kepada kos operasi tidak terancang seperti parkir pesawat yang berpanjangan.
Malah, hal yang lebih rumit lagi adalah menyusun semula keseluruhan jadual penerbangan yang sudah terjejas.
Sungguhpun mungkin wujud tekanan operasi dan komersial untuk memastikan pesawat mematuhi jadual ditetapkan, hakikatnya kuasa muktamad untuk berlepas atau tidak terletak di tangan juruterbang.
Setiap keputusan untuk terbang atau sebaliknya dibuat setelah pertimbangan keselamatan yang mendalam.
Juruterbang perlu membuat ketetapan yang sukar ini setelah merujuk situasi yang bakal dihadapi semasa penerbangan dengan pakar meteorologi dan pengawal trafik udara (ATC), bagi mendapatkan gambaran cuaca dan trafik yang paling tepat.
Daripada maklumat pra-penerbangan ini, juruterbang dapat merancang dengan teliti keperluan kuantiti bahan api yang tepat untuk diisi termasuk rizab mencukupi bagi menghadapi kemungkinan lencongan ke lapangan terbang alternatif.
Semasa dalam penerbangan, pengurusan risiko tetap dilakukan secara aktif. Juruterbang secara berterusan memantau radar cuaca bagi mengenal pasti teras ribut berbahaya yang wajib dielakkan supaya laluan lencongan dapat dirancang sehingga jarak lebih 100 batu nautika.
Selain itu, ATC juga akan memberikan maklumat terkini kepada juruterbang supaya dapat membuat keputusan taktikal pada masa nyata seperti menukar altitud atau haluan bagi mengelakkan pergolakan udara.

Selain itu, juruterbang mesti bersedia mengendalikan pesawat secara manual, terutamanya dalam keadaan ricih angin (wind shear) atau apabila terdapat bacaan instrumen yang tidak menentu.
Di samping itu, fasa pendaratan menuntut penilaian pantas dan kritikal kerana juruterbang mesti mengambil kira keadaan angin, terutamanya risiko ricih angin dan angin lintang yang boleh mengubah haluan pendaratan dan memaksa pelaksanaan prosedur pusingan semula (go-around).
Ada ketika, kadar penglihatan yang rendah disebabkan hujan lebat yang ekstrem turut menyukarkan juruterbang dan air bertakung di atas landasan juga boleh meningkatkan risiko gelinciran dan membahayakan proses berhenti.
Bagi penumpang, penundaan atau pembatalan penerbangan pasti mengecewakan kerana ia mengganggu rancangan perjalanan termasuk menambah beban kewangan, jika tidak menerima pampasan daripada pihak syarikat.
Selain itu, mereka turut berdepan keresahan dan keletihan akibat menunggu berjam-jam di terminal.
Situasi pasti menjadi lebih buruk sekiranya komunikasi daripada syarikat penerbangan tidak jelas atau lemah, terutama dalam mengemaskini maklumat mutakhir berkaitan pampasan penginapan, makanan serta penjadualan semula yang wajib diberikan mengikut peraturan syarikat dan pihak berkuasa penerbangan.
Namun, sebagai penumpang yang bijak, beberapa langkah proaktif boleh dilakukan bagi mengurangkan kesulitan dan tekanan ketika hendak menaiki pesawat semasa musim tengkujuh ini.
Pertama, sebelum membeli tiket, sebaiknya semak terlebih dahulu ramalan cuaca di destinasi. Jika cuaca pada waktu ketibaan dijangka berisiko dengan ribut atau angin kencang, elakkan dan pilih masa lain.
Sebaiknya ambil penerbangan awal pagi kerana corak cuaca biasanya lebih stabil pada waktu tersebut.
Kedua, walaupun bersifat pilihan, sebaiknya pertimbangkan untuk membeli insurans atau takaful perjalanan yang komprehensif kerana ia dapat membantu menampung kos tambahan akibat kelewatan atau pembatalan penerbangan.
Dengan ada perlindungan ini, kita tidak akan berdepan situasi membebankan akibat kos yang meningkat secara mendadak.
Ketiga, sentiasa pastikan maklumat hubungan seperti nombor telefon dan e-mel dikemas kini dalam rekod tempahan tiket agar notifikasi terkini daripada syarikat penerbangan dapat diterima tanpa sebarang masalah.
Pada masa sama, kita juga perlu peka terhadap maklumat berita yang disiarkan supaya tidak terlepas sebarang perkembangan penting yang boleh menjejaskan perjalanan.
Keempat, rancang perjalanan untuk tiba lebih awal di lapangan terbang. Walaupun masa menunggu di terminal mungkin lebih lama, keadaan ini membolehkan kita berada dalam situasi yang lebih tenang.
Selain itu, bawa bekalan keperluan yang mencukupi seperti makanan ringan atau ubat-ubatan di dalam beg tangan atau belakang. Jika boleh, pastikan bagasi tidak terlalu berat atau berlebihan.
Kelima, semasa di pesawat, kekal tenang jika gelora udara berlaku. Oleh itu, pastikan sentiasa duduk dengan memasang tali pinggan keselamatan, walaupun petunjuk pemakaiannya telah dimatikan.
Hal ini kerana ia adalah perlindungan terbaik bagi mengelakkan kecederaan akibat pergolakan udara yang tidak dijangka.
Akhir sekali, bersabarlah dengan memahami bahawa setiap keputusan untuk menangguh atau membatalkan penerbangan dibuat berdasarkan penilaian keselamatan yang teliti demi kesejahteraan semua penumpang di dalam pesawat.
Kita tidak mampu mengubah cuaca, namun kita boleh berusaha mengurangkan kesannya dengan membuat persediaan rapi serta mengambil langkah pencegahan yang wajar.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.