Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kes pertama disyaki wabak ‘bluetongue’ di Ireland Utara dalam siasatan  
  • KESIHATAN

Kes pertama disyaki wabak ‘bluetongue’ di Ireland Utara dalam siasatan  

Utusan Sarawak 15 hours ago
PIHAK berkuasa sedang menyiasat kes pertama yang disyaki sebagai wabak virus bluetongue melibatkan lembu di Ireland Utara.

LONDON: Pihak berkuasa sedang menyiasat kes pertama yang disyaki sebagai wabak virus bluetongue melibatkan lembu di Ireland Utara, lapor PA Media/dpa.

Penyakit ternakan itu dipercayai menjejaskan dua ekor lembu berhampiran Bangor.

Pada Sabtu, Jabatan Pertanian, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Luar Bandar (Daera) memperkenalkan Zon Kawalan Sementara (TCZ) sejauh 20 kilometer dan pergerakan spesies yang terdedah kepada penyakit masuk atau keluar dari zon tersebut kini dilarang.

Namun, satu lesen am membenarkan haiwan merentasi sempadan zon itu jika ia dibawa terus untuk disembelih.

Bluetongue ialah penyakit haiwan yang menjejaskan ternakan termasuk lembu dan biri-biri, selain kambing, rusa dan llama.

Antara simptomnya termasuk lidah kebiruan dan bengkak, demam, penurunan hasil susu dan, dalam kes paling teruk, kematian.

Penyakit ini tidak menjejaskan manusia atau keselamatan makanan, dan lazimnya disebarkan melalui agas.

Menteri Pertanian Ireland Utara Andrew Muir berkata semua pengeluar yang terlibat dalam langkah kawalan baharu itu perlu membantu menghadkan penularan virus berkenaan.

“Walaupun kemungkinan kemunculan bluetongue di sini sentiasa wujud kerana penularannya di Britain dan Kesatuan Eropah, kita kini mesti mengambil semua langkah bagi melindungi ternakan dan mengekang penularan penyakit,” katanya.

“Itulah sebabnya, hasil daripada rangka kerja kawalan penyakit bagi virus ini yang kami lancarkan pada Jun lalu, Daera telah bertindak pantas memastikan langkah kawalan penyakit dikuatkuasakan.”

Beliau menambah: “Orang ramai perlu diyakinkan bahawa virus ini tidak memberi kesan kepada manusia atau keselamatan makanan.

“Menghadapi kes yang disyaki ini, pegawai saya mengambil semua langkah yang diperlukan untuk melindungi industri makanan pertanian.

“Saya menggesa semua pihak dalam industri memainkan peranan masing-masing dan khususnya merayu kepada mereka dalam kawasan kawalan sementara supaya mematuhi sekatan.”

Menteri Pertanian Ireland, Martin Heydon berkata: “Berita mengenai wabak bluetongue yang disyaki di Ireland Utara adalah tidak dialu-alukan.

“Fikiran saya tertumpu kepada keluarga penternak yang terjejas serta para penternak di kawasan berhampiran yang bimbang terhadap ternakan mereka.

“Perkembangan ini boleh membawa implikasi serius. Jika penyakit ini merebak di satu bahagian pulau, ia lebih mudah menular ke kawasan lain, sekali gus menjejaskan kesihatan dan kebajikan haiwan selain menimbulkan tekanan kewangan dan emosi kepada penternak.”

Kes yang disyaki itu dikesan melalui pengawasan aktif Daera terhadap penyakit berkenaan.

Menurut Daera, kes pertama bluetongue serotaip 3 (BTV-3) di England sejak awal Mac 2024 disahkan pada seekor biri-biri di Norfolk pada 26 Ogos tahun itu.

Kini terdapat lebih 260 premis yang terjejas di England, katanya.

Pergerakan langsung semua jenis ruminan dan spesies camelid dari Britain ke Ireland Utara digantung buat sementara waktu.

Ia hanya boleh disambung semula setelah United Kingdom memperoleh kembali status bebas penyakit bluetongue yang diiktiraf Kesatuan Eropah.

Ketua pegawai veterinar Daera, Brian Dooher berkata virus tersebut “tidak dapat diramal dan boleh merebak dengan cepat melalui dan antara kawanan dan kelompok ternakan”.

“Rakan sekerja telah membuat persediaan menghadapi kemungkinan kemasukan penyakit ini dan bekerjasama rapat dengan rakan di Republik Ireland bagi memastikan tindak balas yang diselaraskan untuk menangani sebarang kemasukan,” katanya.

“Saya menggesa semua penternak mendapatkan sumber haiwan mereka secara bertanggungjawab.

“Penularan bluetongue boleh memberi kesan besar terhadap ternakan dan ekonomi luar bandar. Oleh itu, semua pemilik ternakan perlu berwaspada terhadap tanda-tanda penyakit.”

Sebarang simptom mesti dilaporkan segera kepada doktor haiwan, pejabat veterinar bahagian tempatan atau talian bantuan Daera.

-Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Pustaka Negeri Sarawak Miri anjur Kempen Derma Darah Sabtu ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.