
SIBU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) menjalankan operasi memotong bekalan elektrik di beberapa premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata operasi yang dijalankan dari 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memberi kuasa kepada polis memohon pemotongan bekalan elektrik di mana-mana premis digunakan untuk tujuan perjudian.
“Dalam operasi tersebut, sebanyak tujuh premis dikenal pasti dan diputuskan bekalan elektrik selepas siasatan mendapati premis berkenaan digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian haram.
Zulkipli turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti itu bagi membantu pihak polis melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan.
Oleh Tarani Lanting