BAU: Bukan sahaja mempunyai ketulan emas yang sebenar, malah Bau mempunyai potensi besar menjadi ‘lombong emas’ baharu kepada sektor pelancongan Sarawak.
“Saya berharap suatu hari nanti, tempat ini akan menjadi salah satu tempat wajib dikunjungi bagi pelancong yang mendarat di Kuching,” katanya semasa merasmikan Program Jelajah Belia Sarawak 2020 Tasik Biru di Dewan Serbaguna Kampung Skiat Baru di sini, semalam.
“Sebaik sahaja orang datang ke Bau, mereka yang berkaitan dengan industri kraftangan dan industri makanan akan dapat memperoleh keuntungan dari segi ekonomi,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata kawasan Bau adalah satu tumpuan pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya yang dapat menjadi kunci dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke daerah itu.
“Sekiranya mereka menginginkan sesuatu yang sangat menarik, di Bau ini ada banyak (untuk ditawarkan).
“Hanya produk yang perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pelancong (yang datang ke sini),” kata Abdul Karim.
Memetik contoh lombong emas yang kurang dikenali yang terdapat di sini, beliau berkata, perkara itu turut menjadi tumpuan oleh kementeriannya agar ia dapat dikembangkan dengan baik dan dipasarkan sebagai permata pelancongan ke daerah luar.
Selain itu, Abdul Karim menyebut kawasan subur di Bau itu turut mampu menarik pengunjung ketika musim buah, terutama yang berminat untuk menikmati berbagai jenis buah-buahan tempatan.
Beliau turut menekankan kepentingan bagi penduduk tempatan untuk menjaga kawasan mereka dan juga pemimpin mereka untuk memenuhi impian tersebut.
Abdul Karim merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata apa sahaja rancangan pembangunan yang ada kadangkala tidak akan tercapai sekiranya kestabilan tidak dikekalkan dan ketika rakyat berada dalam perpecahan.
Beliau turut berkesempatan memuji kaum Bidayuh di daerah itu, yang dianggapnya cukup progresif dalam hal pelancongan dan juga pengembangan belia.
Oleh Akmal Adib Yusup