Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Banjir: Penduduk buat siaran langsung TikTok hilangkan resah, berkongsi maklumat
  • SEMASA

Banjir: Penduduk buat siaran langsung TikTok hilangkan resah, berkongsi maklumat

Utusan Sarawak 3 hours ago
TINJAUAN di sekitar Masjid Mukim Kubang Rambutan, Rantau Panjang mendapati beberapa penduduk meredah banjir untuk pulang selepas selesai solat Jumaat, walaupun kawasan sekitar masjid dilanda limpahan air. Foto Bernama

PASIR MAS: Sekumpulan penduduk di sekitar pekan Rantau Panjang memilih untuk kekal tenang dengan berkumpul di kawasan air cetek Sungai Golok sambil membuat siaran langsung melalui TikTok sebagai cara melepaskan tekanan dan berkongsi perkembangan banjir kepada orang ramai.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi berhampiran pekan itu mendapati penduduk berkumpul di tepi jalan yang digenangi air, ada yang berdiri di paras buku lali sambil memegang telefon dan ada yang memasang tripod kecil untuk menyiarkan keadaan semasa kepada pengikut di media sosial.

Walaupun keadaan kelihatan santai, penduduk memastikan mereka tidak berada terlalu dekat dengan arus deras dan sentiasa memantau perubahan paras air.

Muhammad Syarif Harun, 28, berkata TikTok menjadi platform paling cepat untuk memberi maklumat kepada keluarga dan rakan-rakan yang bertanyakan keadaan kampung mereka.

“Banyak saudara di luar tanya rumah kami macam mana, jalan boleh lalu ke tidak. Jadi, bila kami buat ‘live’, mereka boleh tengok sendiri. Pada masa sama, bila ‘live’, ada penonton bagi doa, bagi semangat… itu pun bantu tenangkan perasaan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Muhammad Syarif berkata berkumpul bersama rakan-rakan di kawasan limpahan air yang cetek juga membuatkan mereka berasa kurang tertekan.

“Kalau duduk dalam rumah saja, lagi banyak fikir. Di sini kami boleh tengok keadaan air, sambil berbual, sambil lapor perkembangan. Ini cara kami lepaskan rasa risau,” katanya.

Bagi Siti Marlia Abdullah, 31, yang turut membuat siaran langsung dari halaman rumahnya yang sudah digenangi air paras betis, penggunaan media sosial membantu mengurangkan rasa takut, terutama apabila memikirkan keselamatan dua anak kecilnya.

“Kawan-kawan yang tengok ‘live’ beri nasihat supaya kami naikkan barangan lebih awal, beri ingatan kalau hujan mula lebat. Sokongan macam itu penting. Bila kami kongsi keadaan, orang luar pun lebih faham cabaran kami,” katanya.

Beliau berkata selain membuat siaran langsung, penduduk juga saling memaklumkan paras air di lorong dan simpang tertentu melalui aplikasi mesej bagi membantu mereka merancang pergerakan atau bersedia untuk berpindah.

Sementara itu, Rahim Ghani, 55, berkata walaupun penduduk kelihatan tenang, mereka sentiasa berjaga-jaga kerana pengalaman banjir sebelum ini mengajar mereka tidak boleh terlalu yakin.

“Kami duduk di kawasan yang selamat saja. Sambil tengok air, sambil berbual dengan jiran. Ada yang tolong tengokkan rumah bujang, ada yang tolong angkat barang orang tua. ‘Live’ TikTok itu sebenarnya hanya cara untuk kongsi perkembangan, bukan suka-suka,” katanya.

Rahim berkata media sosial kini menjadi medium penting setiap kali banjir kerana memudahkan penduduk kampung mengemas kini situasi sebenar secara masa nyata.

Sementara itu, tinjauan Bernama turut mendapati beberapa laluan di pekan berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda berikutan limpahan air yang masih bertakung manakala hujan lebat sejak pagi tadi turut mempengaruhi paras Sungai Golok.

-Bernama  

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Semua rakyat Malaysia terkandas di Sumatera disahkan selamat
Next: Met Malaysia keluarkan amaran Lekukan Tropika

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.