Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • PRN Sabah: Bot, helikopter digunakan hantar kelengkapan mengundi
  • NASIONAL

PRN Sabah: Bot, helikopter digunakan hantar kelengkapan mengundi

Utusan Sarawak 2 hours ago

Petugas SPR membuat persiapan peralatan mengundi sebelum dihantar ke 16 pusat mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, DUN Tanjung Batu, DUN Merotai dan DUN Sebatik sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 esok ketika tinjauan di Dewan SRJK (C) Yuk Chin hari ini. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 esok, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini giat melaksanakan persiapan akhir termasuk menghantar kelengkapan mengundi ke lokasi pedalaman menggunakan bot dan helikopter.

Tinjauan Bernama di beberapa daerah di negeri ini mendapati petugas SPR bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat bagi memastikan proses pengundian yang berlangsung esok berjalan lancar dan teratur.

Ketua Tempat Mengundi Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pamaguan, Suhaili @ Suhaile Pani, memegang peti undi sebelum menghantar peti dan kelengkapan mengundi menggunakan tiga bot ke Pulau Pamaguan /BERNAMA

Di Tuaran, petugas-petugas SPR dilihat menyusun dan menyemak peralatan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkabong yang dijadikan pusat pengundian pada PRN kali ini. 

Di Penampang, beberapa petugas SPR dan anggota polis menaiki helikopter dari padang Majlis Perbandaran Penampang bagi menghantar kelengkapan mengundi ke pusat-pusat pengundian di pedalaman seperti SK Terian, SK Buayan dan SK Longkogungan.

Di Semporna, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mas Syazwan Masood bersama anggota PDRM mengiringi peti undi yang dibawa menggunakan bot menuju ke pusat pengundian di SK Pulau Denawan dan SK Pulau Mabul.

Pulau Denawan terletak dalam DUN Sulabayan, manakala Pulau Mabul dalam DUN Senallang.

Petugas SPR menyusun peralatan undi sempena PRN Sabah ke-17 ketika tinjauan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Mengkabong, hari ini. Foto Bernama

Di Sandakan, Ketua Tempat Mengundi SK Pamaguan, Suhaili Pani mengetuai penghantaran peti undi dan kelengkapan mengundi menggunakan tiga buah bot ke Pulau Pamaguan.

Persiapan akhir bagi pengundian kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Libaran, iaitu Gum-Gum, Sungai Manila dan Sungai Sibuga turut berjalan lancar.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Imran Jagong berkata pengagihan peralatan pilihan raya bermula pagi tadi, termasuk penyerahan buku kertas undi, senarai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), dakwat dan dokumen-dokumen berkaitan kepada ketua daerah mengundi. Peti undi kemudian dipateri dan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Sementara itu, di Tawau, tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chin yang merupakan pusat penjumlahan undi bagi DUN Merotai, Tanjung Batu, Kukusan dan Sebatik mendapati persiapan turut berjalan lancar dengan lebih 80 bertugas menyemak peti undi dan memastikan segala kelengkapan bersedia sebelum proses pengundian.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata 436 anggota polis akan ditugaskan di pusat-pusat pengundian serta pusat penjumlahan undi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman selain menasihati pengundi agar mematuhi peraturan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Semua 882 pusat mengundi di seluruh negeri dengan 3,558 saluran mengundi akan dibuka serentak pada 7.30 pagi esok sebelum ditutup secara berperingkat bermula 12 tengah hari hingga 5.30 petang.

SPR melantik 25 pegawai pengurus pilihan raya dengan dibantu 196 penolong pegawai pengurus bagi memastikan kelancaran pengundian pada PRN kali ini yang dianggarkan melibatkan peruntukan RM116.8 juta.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

— BERNAMA

Continue Reading

Previous: SPRM tahan Shamsul Iskandar, Albert Tei dan Sofia Rini bantu siasataan dakwaan rasuah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.