PETRA JAYA: Sarawak merekodkan bukti pembayaran (resit) pelancongan melebihi RM10.2 bilion setakat Oktober tahun ini, jumlah tertinggi pernah dicapai, meskipun ketibaan pelawat dijangka sedikit kurang daripada sasaran lima juta.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata angka terkini menunjukkan 4.01 juta pengunjung direkodkan sehingga Oktober.
“Saya sedikit skeptikal kita dapat capai lima, tetapi kita hampir ke arah itu. Apa yang lebih membanggakan ialah resit pelancongan. Tidak pernah sebelum ini kita mencapai purata lebih RM1 bilion sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Festival Antarabangsa Muzik dan Seni Sarawak (SIFMA), di luar sidang DUN di sini hari ini.
Abdul Karim menjelaskan angka tersebut mencerminkan kualiti pelancong yang datang ke Sarawak, terutamanya dari Eropah yang mempunyai corak perbelanjaan lebih tinggi.
Menurutnya, perbelanjaan pelancong membawa limpahan besar kepada pemain industri seperti hotel, restoran dan pengusaha tempatan.
“Pelancong dari Eropah, misalnya, mempunyai pola perbelanjaan berbeza. Ini mengalir terus kepada industri seperti hotel, restoran dan pengusaha tempatan. Sebab itu semua orang dalam sektor ini gembira,” jelasnya.
Abdul Karim berkata data pelancongan Sarawak dianggap lebih tepat berbanding negeri lain kerana pintu masuk imigresen di negeri ini direkodkan secara sistematik.
“Kedudukan Sarawak sebagai wilayah pulau membolehkan setiap pergerakan pelawat dipantau dengan lebih jelas.
“Di Semenanjung, pergerakan antara negeri sangat bebas sehingga sukar mendapat kiraan tepat. Sarawak mempunyai rekod imigresen yang sistematik. Sebab itu angka kita tidak agak-agak dan ia sangat tepat,” katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa cuaca hujan boleh menjejaskan kedatangan pelancong, beliau berkata impaknya dijangka minimal kerana banyak acara hujung tahun terus menarik pengunjung luar.
“Konsert artis Indonesia, Amesh, pada malam ini sahaja dijangka menarik antara 600 hingga 800 pengunjung dari Brunei, selain ketibaan pelawat dari Semenanjung dan negara jiran lain,” katanya.
Beliau berkata deretan acara seperti Search dan Expedisi bulan depan, sambutan ambang tahun baharu serta pelbagai festival hujung tahun turut menyokong peningkatan angka pelawat.
Abdul Karim tetap optimis sasaran lima juta pelancong masih boleh diletakkan semula pada tahun hadapan, lebih-lebih lagi apabila syarikat penerbangan negeri mula beroperasi.
Oleh ADELE RISSA