
SINGAPURA: Singapura mengesahkan bahawa perbincangan dengan Malaysia berkaitan Perjanjian Air 1962 (62WA) masih berjalan, menurut Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan.
Bagaimanapun, Balakrishnan enggan mendedahkan butiran terkini perbincangan tersebut, hanya menyatakan bahawa rundingan telah diadakan baru-baru ini.
“Kita dahulu mempunyai dua perjanjian: satu ditandatangani pada 1961 dan satu lagi pada 1962. Perjanjian 1961 telah tamat tempoh. Pada 2011, saya menyerahkan kemudahan air itu kepada Baginda Sultan Johor, dan perjanjian itu dibiarkan luput.
“Sekarang hanya tinggal satu perjanjian air, iaitu perjanjian 1962 yang sah selama 99 tahun sehingga 2061. Itulah kedudukannya pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara santai bersama peserta Program Lawatan Wartawan Malaysia (MJVP) di sini baru-baru ini.
Dalam Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri ketika itu Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-10 pada Oktober 2023, kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen masing-masing seperti yang diperuntukkan dalam 62WA.
Kedua-dua pemimpin bersetuju mengadakan semula Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi membincangkan langkah untuk melindungi kualiti air dan meningkatkan hasil Sungai Johor bagi memastikan kelestarian bekalannya seperti yang disyaratkan di bawah 62WA.
Kedua-dua negara juga bersetuju menyambung perbincangan mengenai harga air mentah dan terawat, tanpa menjejaskan pendirian masing-masing mengenai hak untuk menyemak harga di bawah 62WA, menurut kenyataan bersama itu.
62WA memberi Singapura hak memperoleh 250 juta gelen air mentah sehari pada kadar tiga sen bagi 1,000 gelen dan, sebagai balasan, Malaysia berhak membeli semula air terawat pada kadar 50 sen bagi 1,000 gelen.
Pemukiman Pemimpin Tahunan seterusnya dijangka berlangsung bulan ini.
Menyentuh projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Balakrishnan berkata Singapura kekal terbuka untuk mempertimbangkan cadangan baharu.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai sama ada Singapura bersedia menilai semula perbincangan mengenai projek itu.
“(HSR) itu dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), dan kami bersetuju. Kami menandatangani, kami mengosongkan kawasan padang golf, buat perubahan infrastruktur dan membelanjakan wang untuk membuat persediaan.
“Kemudian terdapat perubahan keputusan di Kuala Lumpur, dan kami terima. Jadi perkara itu selesai,” katanya.
“Jika ada cadangan baharu dengan perspektif baharu, kami akan menelitinya. Kami terbuka, tetapi berdasarkan apa yang saya dengar daripada rakan-rakan Malaysia, ia mesti menjadi projek komersial dan berdaya maju secara komersial. Kita lihat nanti,” katanya.
Sementara itu, Singapura melihat hubungan ekonominya dengan Sarawak sebagai kukuh dan terus berkembang, dipacu usaha progresif kerajaan negeri untuk memperdalam kerjasama dalam perdagangan, pelancongan dan pelaburan.
Beliau berkata hubungan tersebut semakin erat di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang komited memperkukuh penglibatan ekonomi dan membuka peluang kerjasama baharu.
Apabila ditanya mengenai status cadangan menubuhkan Pejabat Konsulat Jeneral Singapura di Sarawak, beliau menjawab: “Kami menunggu kelulusan daripada Kuala Lumpur.”
MJVP dianjurkan oleh Bahagian Media Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dengan sokongan Kementerian Luar (MFA), bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai Singapura melalui sesi bual bicara santai bersama pemimpin politik dan lawatan pembelajaran.
-Bernama