
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri mengecam keras kenyataan bekas ahli politik, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang mendakwa Sarawak merupakan ‘beban’ serta mencadangkan pembatalan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai melampau tidak berasas dan langsung tidak mencerminkan realiti pembangunan serta sumbangan besar Sarawak kepada negara.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tuduhan tersebut kerana kita di tanah Borneo ini bukan beban, sebaliknya contoh yang harus diambil secara positif oleh negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Mohamad Duri menzahirkan rasa kesal apabila Zaid turut mencadangkan kerajaan Persekutuan tidak menghormati MA63, perjanjian antarabangsa yang menjadi asas pembentukan Malaysia.
“Sebagai bekas ahli politik, Datuk Mohd Zaid seharusnya lebih terkini dan cakna isu besar ini. Beliau tidak di tempat kita, maka boleh bercakap seperti di dalam rimba, ada yang mendengar tetapi tiada siapa yang faham,” ujarnya.
Menurut Mohamad Duri lagi, kenyataan menggelar Sarawak sebagai beban amat pelik dan dangkal, lebih-lebih lagi apabila wilayah ini kini menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau yang memetik ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perhimpunan Hari Sarawak 2025 di Miri baru-baru ini, yang menyatakan bahawa sumbangan tersebut meletakkan Sarawak sebagai antara tiga negeri penyumbang tertinggi kepada ekonomi negara.
“Data daripada Bank Dunia dan Jabatan Perangkaan Malaysia turut menunjukkan Sarawak menyumbang 9.75 peratus kepada KDNK negara, selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Hakikatnya, Sarawak adalah pemangkin penting ekonomi Malaysia,” jelasnya.
Dalam masa sama, Mohamad Duri menegaskan bahawa rakyat Sarawak tetap komited mempertahankan MA63 dan tidak akan sesekali tunduk kepada cadangan tidak bertanggungjawab yang mencabar kedudukan negeri itu dalam Persekutuan.
“Tidak wajar Kerajaan Persekutuan mendengar dakwaan sembrono untuk membatalkan perjanjian antarabangsa itu. Kami tegas, tidak goyah, dan tidak akan mengangguk kepada mana-mana cubaan memutarbelitkan sejarah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Zaid agar tidak merosakkan keharmonian negara dengan kenyataan yang boleh memecahbelahkan perpaduan.
“Jika enggan bersama, maka diamlah. Biar kami terus menghidupkan perpaduan antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” tegasnya sambil menambah bahawa Sarawak akan terus memperjuangkan haknya dalam kerangka perlembagaan.
“Agi idup, agi ngelaban,” katanya mengakhiri kenyataan itu.
Oleh Adi Safarman