
PETRA JAYA: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak kini boleh memohon Permit Kajian Karbon Hutan dan Lesen Karbon Hutan, yang dikeluarkan jika mematuhi ordinan dan peraturan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti luar bandar dan menyokong usaha negeri kurangkan pelepasan karbon.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, langkah itu selaras dengan penggubalan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca), 2023 dan Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan), 2022.
“Peraturan ini menetapkan semua projek karbon perlu mematuhi standard antarabangsa seperti Verra dan Gold Standard, bagi memastikan integriti, ketelusan, dan keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato Ir. Lo Khere Chiang (Batu Kitang – GPS) pada persidangan hari kelima Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini.
Tambah beliau, selain memberi peluang kepada pemilik tanah NCR, Sarawak terus menarik pelaburan asing dalam sektor hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui.
“Keuntungan semula jadi negeri, termasuk rezab gas asli yang melimpah dan tenaga elektrik boleh diperbaharui kos rendah, menyediakan tenaga stabil dan berskala besar untuk pengeluaran hidrogen rendah karbon.
“Pelabur juga mendapat sokongan melalui akses kepada tanah industri strategik, kemudahan infrastruktur sedia ada, serta proses kelulusan yang dipermudah melalui agensi seperti Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“Polisi negeri yang jelas, termasuk Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dan Peta Jalan Ekonomi Hidrogen Sarawak, menandakan komitmen jangka panjang kerajaan negeri terhadap ekonomi hijau,” jelasnya.
Mengulas lanjut, di peringkat Persekutuan, pelabur boleh memanfaatkan insentif teknologi hijau yang ditawarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), termasuk Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE), serta Status Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan (ITA) untuk projek hijau dan berasaskan teknologi.
Kesemua langkah itu menjadikan Sarawak sebagai hab kompetitif bagi industri tenaga bersih dan projek rendah karbon, sambil memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk terlibat dan manfaat daripada pembangunan ekonomi hijau negeri.
Oleh Masrin Affirah