
PETRA JAYA: Pelanggan elektrik di Sarawak bakal boleh bayar mengikut penggunaan sebenar melalui sistem meter prabayar, susulan kajian kebolehlaksanaan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk meluaskan penggunaan meter pintar.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Datuk Ibrahim Baki, langkah tersebut dijangka memberi lebih kawalan kepada rakyat terhadap penggunaan elektrik, membantu pengurusan bajet keluarga dan memudahkan pilihan pembayaran mengikut keperluan masing-masing.
“Kajian ini akan menilai potensi manfaat serta cabaran pelaksanaan sistem prabayar terutamanya di kawasan liputan rangkaian telekomunikasi rendah atau tidak stabil dengan projek perintis dijangka bermula pada 2027.
“Beberapa kaedah prabayar telah dikaji bersama pelbagai penyedia perkhidmatan bagi menilai keserasian dengan sistem meter pintar yang sedang dilaksanakan sejak awal tahun ini.
“Pada masa ini, pemasangan meter pintar di Sarawak telah mencapai 25 peratus dan dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau mengulas lanjut, sistem prabayar dijangka memberi manfaat signifikan termasuk kawalan penggunaan elektrik lebih baik, pengurusan bajet lebih efisien serta kemudahan pembayaran fleksibel.
“Langkah ini mencerminkan usaha Sarawak mempertingkatkan pengurusan tenaga dan memberi rakyat lebih kuasa terhadap penggunaan elektrik mereka melalui teknologi pintar,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah