Kenderaan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di Jakarta, Indonesia, Februari 2024. Foto AFP
JAKARTA: Ibu kota Indonesia, Jakarta, kini secara rasmi menjadi bandar terbesar di dunia dari segi jumlah penduduk, menurut laporan World Urbanization Prospects 2025 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ibu kota Indonesia itu kini mempunyai 41.9 juta penduduk, mengatasi Tokyo yang turun ke tempat ketiga dengan 33.4 juta, dan Dhaka, Bangladesh, yang naik ke tempat kedua dengan 36.6 juta orang.
Terletak di pantai barat Jawa, Jakarta naik ke puncak senarai global itu akibat pertumbuhan penduduk yang pesat.
Dhaka – sebelum ini di tempat kesembilan – turut merekodkan lonjakan ketara dan dijangka menjadi bandar paling ramai penduduk di dunia menjelang 2050.
Laporan PBB itu turut menekankan perkembangan berterusan “mega city”, iaitu kawasan bandar yang mempunyai lebih daripada 10 juta penduduk.
Jumlahnya meningkat daripada lapan pada 1975 kepada 33 bandar hari ini, 19 daripadanya berada di Asia.
Selain tiga bandar teratas itu, bandar-bandar Asia lain dalam kelompok 10 teratas ialah New Delhi (India, 30.2 juta), Shanghai (China, 29.6 juta), Guangzhou (China, 27.6 juta), Manila (Filipina, 24.7 juta), Kolkata (India, 22.5 juta) dan Seoul (Korea Selatan, 22.5 juta).
Dalam kalangan bandar bukan Asia, Kaherah (Mesir, 32 juta) mendahului, manakala São Paulo (Brazil, 18.9 juta) merupakan bandar terbesar di benua Amerika, dan Lagos (Nigeria) ialah yang paling ramai penduduk di sub-Sahara Afrika. – Agensi