
PETRA JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan pendirian untuk tidak mencampuri Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, selaras dengan prinsip menghormati autonomi negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Sarawak kekal berpendirian bahawa setiap negeri berhak menentukan hala tuju politiknya secara bebas tanpa campur tangan luar, dan GPS hanya memberi fokus kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
Sehubungan itu, Wilfred Yap Yau Sin (Kota Sentosa-GPS) menyatakan sokongan penuhnya sebagai terhadap pendirian tersebut pada sidang media khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
“Saya ingin menegaskan sokongan penuh saya terhadap pendirian jelas yang diambil GPS bahawa gabungan kita tidak akan mencampuri urusan pilihan raya negeri Sabah.
“Seperti Sarawak, Sabah juga merupakan rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia dan berhak melaksanakan proses demokrasi tanpa campur tangan luar,” katanya.
Tambahnya, GPS sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Sarawak Diutamakan’ dan pemimpin gabungan perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab terhadap rakyat negeri ini serta mendokong dasar Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Sarawak terus maju hasil perpaduan kita. Melalui kesatuan inilah kita mencapai kestabilan, pertumbuhan dan pembangunan untuk rakyat.
“Semua wakil rakyat GPS perlu menjaga disiplin dan memelihara kepercayaan rakyat dengan mengekalkan batas yang jelas antara urusan rasmi, kerjasama antara negeri dan aktiviti politik, terutama ketika tempoh pilihan raya.
“Adalah amat mendukacitakan jika ada wakil GPS bertindak di luar landasan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti gabungan serta kepercayaan rakyat,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan komitmen mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sambil memastikan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan.
“Sebagai wakil SUPP, saya akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan GPS untuk memperkukuh perpaduan dan memastikan fokus kita kekal pada ‘Sarawak Diutamakan’,” ujarnya.
Kenyataan tersebut merupakan susulan isu PRN Sabah kali ini yang mendapat perhatian media tempatan selepas tular beberapa gambar dan dakwaan bahawa pemimpin-pemimpin GPS menghadiri program kempen di negeri tersebut.
Namun, pihak berkenaan menegaskan bahawa sebarang kehadiran hanyalah bersifat peribadi dan bukan mewakili GPS secara rasmi.
Oleh Masrin Affirah