

SARATOK: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berjaya menahan dua individu tempatan yang disyaki terlibat sebagai pemilik ‘keldai akaun’ dalam dua kes penipuan berasingan yang dilaporkan pada 27 November lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata kedua-dua kes melibatkan kerugian keseluruhan lebih RM27,000 membabitkan mangsa berusia antara 25 hingga 35 tahun.
Tangkapan pertama dibuat oleh anggota Balai Saratok pada 12.12 tengah hari.
Mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun dari Kuala Lumpur mengalami kerugian RM23,511 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian.
Susulan siasatan, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun yang dipercayai pemilik akaun e-dompet Touch ‘n Go yang digunakan bagi menerima wang hasil penipuan.
Hasil soal siasat mendapati suspek mendakwa akaun itu asalnya dibuka untuk menerima bantuan kerajaan dan pernah digunakan oleh bekas suaminya bagi tujuan pinjaman dalam talian.
Suspek turut mengaku tidak mengetahui keberadaan akaun tersebut serta kemasukan wang pada 27 Oktober 2025. Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 22 Disember 2025.
Dalam kes kedua, tangkapan dilakukan oleh anggota Balai Kabong pada 2.14 petang. Mangsa seorang lelaki Bidayuh berusia 25 tahun dari Serian ditipu selepas membuat urusan pinjaman tidak wujud.
Polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dari Kampung Nyabor, Kabong, yang disyaki pemilik akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) digunakan oleh sindiket.
Semakan rekod menunjukkan suspek mempunyai empat laporan polis terdahulu yang bersangkut dengan kes serupa di Rantau Panjang, Setapak, Bandar Baru Bangi dan Bandar Sunway.
Suspek mendakwa akaun BSN berkenaan dibuka untuk menerima bantuan persekolahan dan tidak mengetahui keberadaan kad ATM miliknya.
Suspek turut akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 22 Disember 2025.
Mathew menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan urusan kewangan atas talian serta tidak menyerahkan maklumat perbankan atau dokumen peribadi kepada pihak ketiga bagi mengelakkan disalahgunakan sindiket penipuan.
Oleh Adi Safarman