Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak percepat strategi kurangkan kesesakan jalan raya di Kuching
  • SEMASA

DUN: Sarawak percepat strategi kurangkan kesesakan jalan raya di Kuching

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Jerip Susil ketika sesi soal jawab pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak mempercepat usaha mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya di Kuching, termasuk di Kota Sentosa, melalui pelaksanaan strategi pengangkutan yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Timbalan Menteri Pengangkutan I, Datuk Jerip Susil berkata usaha ini dipacu melalui Rancangan Induk Pengangkutan Bersepadu Sarawak, iaitu pelan jangka panjang bagi membentuk sistem pengangkutan moden, cekap dan mampan.

Beliau berkata pelan tersebut turut diselaraskan dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pengurangan kesesakan, penambahbaikan keselamatan serta peningkatan rangkaian pengangkutan awam melalui pembangunan hab integrasi, teknologi digital, mobiliti hijau dan infrastruktur logistik yang lebih efektif.

“Antara projek utama ialah Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching, penggunaan bas berpelepasan rendah serta pembinaan hab pengangkutan pelbagai mod dan terminal lori bagi memperkukuh rangkaian mobiliti rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Yap Yau Sin (Kota Sentosa–GPS) pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19,  di sini hari ini.

Jerip turut memaklumkan bahawa Laluan Merah Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching akan diperluaskan sehingga ke Batu 12 Jalan Kuching–Serian dengan kemungkinan pengembangan seterusnya mengikut keperluan masa depan.

Beliau menegaskan bahawa semua projek yang melibatkan penaiktarafan infrastruktur, peningkatan perkhidmatan awam dan inisiatif mobiliti pintar dilaksana mengikut hala tuju Rancangan Induk Pengangkutan Bersepadu Sarawak dan Pelan Strategik kementerian.

Menjawab soalan tambahan, Jerip berkata fasa pertama Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching turut melibatkan kawasan Kota Sentosa, termasuk pembangunan Sistem Transit Pantas Kendiri dan perkhidmatan bas pengantara bagi mengukuhkan sambungan jarak terakhir.

Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti melalui BAS.SAYA yang sudah beroperasi, jelasnya, memberikan pilihan perjalanan moden, mampu milik dan lebih mudah diakses penduduk di kawasan Kuching yang lebih luas, termasuk Kota Sentosa.

“Kami juga sedang menaik taraf beberapa persimpangan utama dengan sistem lampu isyarat pintar yang mempunyai Keutamaan Isyarat Transit dan dikawal melalui pusat operasi bagi memastikan aliran pergerakan yang lebih lancar,” katanya.

Mengenai Projek Kereta Api Rentas Borneo, Jerip berkata kajian kebolehlaksanaan sedang berjalan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan penyertaan aktif kerajaan Sarawak.

“Laporan interim pertama telah dibentangkan pada 30 Oktober 2025 dan kajian dijangka siap pada Jun 2026. Dua bengkel teknikal bersama agensi di Sabah turut diadakan untuk meneliti dapatan awal dan menyelaras perancangan,” jelasnya.

Beliau berkata jajaran awal telah dicadangkan dan sedang diperhalusi, termasuk kajian integrasi dengan Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching bagi memastikan hubungan lebih lancar antara kereta api rentas Borneo dan pengangkutan awam tempatan.

“Apabila dilaksanakan kelak, integrasi ini dijangka membuka akses lebih luas kepada penduduk di kawasan Kuching yang lebih luas serta Kota Sentosa, sekali gus memperkukuh rangkaian pengangkutan di seluruh wilayah,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: KPWKM perhebat tindakan JKM hadapi banjir teruk di beberapa negeri
Next: GPS tegas tidak campur PRN Sabah, Wilfred Yap nyatakan sokongan penuh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.