
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meningkatkan kesiapsiagaan semua jentera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)susulan keadaan banjir yang terus memburuk di beberapa negeri.
Setakat ini, 242 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka, menempatkan 27,489 mangsa daripada 9,033 keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata lonjakan jumlah mangsa dan amaran cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan keluarga terjejas, terutama melibatkan kanak-kanak, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kita kini berdepan fasa cuaca yang mencabar, dan keselamatan rakyat adalah keutamaan. JKM telah digerakkan sejak awal dan bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata amaran hujan sangat lebat dan berterusan melibatkan Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan, manakala beberapa negeri lain berada pada tahap amaran buruk dan waspada, meningkatkan risiko banjir kilat, limpahan sungai dan tanah runtuh.
Nancy turut mengesahkan dua kematian akibat banjir dilaporkan di Kelantan, masing-masing di Gua Musang pada 21 November dan Tanah Merah pada 26 November.
“Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga mereka diberi kekuatan menghadapi detik yang amat sukar ini,” katanya.
Menurutnya, bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada paras mencukupi dan terus diagihkan mengikut keperluan semasa di lapangan.
“Penduduk di kawasan berisiko diminta sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS jika diarahkan. Elakkan berada berhampiran sungai dan kawasan rendah,” tegasnya.
Beliau berkata KPWKM bersama JKM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan dengan cepat dan penuh empati.