
KAHERAH/ISTANBUL: Mesir pada Khamis memaklumkan bahawa negara itu telah mendapatkan semula 17 artifak yang berasal daripada pelbagai tamadun Mesir purba dari Australia, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Mesir berkata Timbalan Menteri Luar Nabil Habashi telah bertemu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Imigresen dan Kesenian Australia Tony Burke dan menandatangani dokumen berkaitan pemulangan 17 artifak Firaun yang jarang ditemui kepada Mesir.
Kementerian itu tidak memperincikan maklumat mengenai artifak berkenaan atau bagaimana ia dibawa keluar dari Mesir.

Habashi menyambut baik keputusan kerajaan Australia untuk menyerahkan artifak berkenaan kepada Mesir.
Beliau berkata keputusan itu dibuat pada waktu yang penting, bertepatan dengan ulang tahun ke-75 penubuhan hubungan diplomatik antara Mesir dan Australia.
Keputusan itu merupakan “hasil daripada usaha susulan oleh Kedutaan Mesir di Canberra dan Konsulat Jeneral di Sydney, dengan penyelarasan bersama Kementerian Pelancongan dan Antikuiti, berhubung satu kes yang sedang melalui proses kehakiman di Australia sejak 2019,” menurut kenyataan itu.
Kes itu berakhir dengan keputusan Mahkamah Tinggi Australia pada 3 September 2025 yang memerintahkan kerajaan Australia merampas 17 artifak berkenaan – yang berada dalam pemilikan sebuah syarikat swasta – dan memulangkannya kepada negara asalnya.- Bernama-Anadolu