
JAKARTA: Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera, Indonesia meningkat kepada 19 orang, menurut seorang pegawai penyelamat semalam, manakala puluhan lagi masih hilang.
Cuaca buruk yang melanda Sumatera Utara sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di seluruh wilayah itu.

“Setakat pagi ini tiada kemas kini baharu. Secara keseluruhan, bagi semua lokasi terjejas, 19 orang telah meninggal dunia,” kata pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Emy Freezer, kepada AFP, berdasarkan data sehingga Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan hilang di enam lokasi berasingan.
Akses jalan ke kawasan terjejas serta perkhidmatan telekomunikasi dan elektrik turut terputus, katanya.
Justeru, pihak berkuasa kini menumpukan usaha kepada kerja pembersihan sisa runtuhan bagi memasuki kawasan terpencil dan menyalurkan bantuan.

Di wilayah jiran, Aceh, hujan lebat sejak beberapa hari turut mencetuskan banjir dan tanah runtuh, memaksa hampir 1,500 penduduk dipindahkan, menurut agensi bencana tempatan.
Perkhidmatan elektrik di beberapa kawasan di sana juga terjejas, menurut seorang wartawan AFP.
Syarikat elektrik milik kerajaan, Perusahaan Listrik Negara, dalam satu kenyataan berkata bahawa mereka telah menggerakkan kakitangan bagi memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat selepas banjir kilat menyebabkan sebuah menara penghantaran runtuh.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik pula memberi amaran bahawa satu kitaran badai dinamakan Senyar terbentuk pada Rabu, yang dijangka membawa cuaca lebih ekstrem ke rantau itu dalam beberapa hari mendatang.
Musim monsun tahunan lazimnya antara Jun dan September sering membawa hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.
Perubahan iklim turut menjejaskan corak ribut, termasuk tempoh dan intensiti monsun, menyebabkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan angin kencang.
Sekurang-kurangnya 38 maut bulan ini dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di Jawa Tengah, manakala sekitar 13 orang masih hilang. – AFP