Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kebakaran dahsyat di Hong Kong ragut 94 nyawa, ramai masih hilang
  • GLOBAL

Kebakaran dahsyat di Hong Kong ragut 94 nyawa, ramai masih hilang

Utusan Sarawak 6 hours ago
ANGGOTA bomba bersiap sedia selepas kebakaran besar melanda beberapa blok pangsapuri di kawasan perumahan Wang Fuk Court di Daerah Tai Po, Hong Kong pada 27 November 2025. Foto AFP

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong pada Jumaat mengesahkan angka korban akibat kebakaran paling buruk di bandar itu dalam beberapa dekad telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 94 orang.

Api hampir sepenuhnya dipadamkan, namun pasukan penyelamat masih mencari mangsa di bangunan tinggi yang hangus terbakar.

Pihak berkuasa memaklumkan kebakaran berjaya dihadkan kepada empat unit daripada hampir 2,000 unit di kompleks pangsapuri tersebut, lebih 24 jam selepas api mula marak di lapan blok bangunan.

Sekurang-kurangnya 76 cedera, termasuk 11 anggota bomba, menurut jurucakap kerajaan. Ramai masih dilaporkan hilang, walaupun jumlah tepat belum dikemas kini sejak semalam.

Seorang wartawan AFP melaporkan kebakaran di Wang Fuk Court telah banyak berkurangan, namun percikan api dan asap tebal masih sesekali keluar dari struktur bangunan.

Anggota bomba terus menyiram air ke bangunan untuk menyejukkan struktur dan mengelakkan bara api daripada menyala semula.

SUKARELAWAN mengagihkan makanan kepada penduduk selepas kebakaran besar melanda beberapa blok pangsapuri di kawasan perumahan Wang Fuk Court di Daerah Tai Po, Hong Kong semalam. Foto AFP

Pihak berkuasa telah memulakan siasatan punca kebakaran terburuk dalam hampir 80 tahun termasuk faktor perancah buluh dan jaring plastik yang membalut bangunan sebagai sebahagian daripada kerja pengubahsuaian besar.

Badan anti-rasuah Hong Kong berkata ia telah melancarkan siasatan terhadap kerja pengubahsuaian di kompleks itu, beberapa jam selepas polis menahan tiga lelaki kerana disyaki cuai meninggalkan bungkusan buih di lokasi kebakaran.

Penduduk Wang Fuk Court, yang terletak di daerah utara Tai Po, memberitahu AFP bahawa mereka tidak mendengar sebarang penggera kebakaran dan terpaksa mengetuk pintu rumah jiran untuk memberi amaran.

“Kebakaran merebak terlalu cepat. Saya lihat hanya satu hos cuba menyelamatkan beberapa bangunan, dan saya rasa ia terlalu perlahan,” kata seorang lelaki bernama Suen.

“Menekan loceng pintu, mengetuk pintu, memberi amaran kepada jiran, menyuruh mereka keluar begitulah keadaannya,” tambahnya.

TIDAK DAPAT DIGAMBARKAN

Daripada 94 mangsa yang disahkan maut setakat 6.00 pagi waktu tempatan (22:00 GMT Khamis), seorang ialah anggota bomba berusia 37 tahun dan dua lagi ialah pekerja domestik migran dari Indonesia.

Ini merupakan kebakaran paling dahsyat di Hong Kong sejak 1948, apabila letupan diikuti kebakaran meragut 135 nyawa.

Namun angka korban dijangka meningkat, dengan ketua bandar John Lee berkata 279 orang masih belum dapat dikesan.

GABUNGAN gambar ini dihasilkan pada 28 November 2025 menunjukkan (atas) imej satelit yang diedarkan oleh Vantor yang diambil pada 22 November 2025 dan disediakan pada 27 November 2025, memaparkan pandangan umum kawasan perumahan Wang Fuk Court di Daerah Tai Po, Hong Kong beberapa hari sebelum kebakaran besar melanda beberapa blok di kompleks tersebut, dan (bawah) imej satelit yang diedarkan oleh Vantor diambil dan disediakan pada 27 November 2025 menunjukkan asap sedang mengepuldari pangsapuri semasa kebakaran. Foto AFP

Anggota bomba kemudian memaklumkan mereka telah berjaya menghubungi sebahagian daripada individu tersebut, tetapi pihak berkuasa belum mengemas kini jumlah rasmi.

Sekurang-kurangnya 12 mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal, manakala pihak hospital menggambarkan keadaan 28 lagi sebagai “serius”.

Polis di pusat komuniti berhampiran yang cuba mengenal pasti mangsa menunjukkan gambar mayat yang ditarik keluar daripada kebakaran kepada orang ramai yang mencari ahli keluarga mereka.

“Jika wajah tidak dapat dikenali, ada barang peribadi untuk dikenal pasti,” kata seorang wanita bernama Cheung yang mencari sanak saudaranya.

“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya. Ada kanak-kanak,” katanya.

Kebakaran maut pernah menjadi masalah besar di Hong Kong yang padat penduduk, khususnya di kawasan miskin, tetapi langkah keselamatan yang lebih baik telah menjadikannya jauh berkurangan.

Pihak berkuasa Hong Kong akan segera memeriksa semua kawasan perumahan yang sedang menjalani kerja besar selepas tragedi ini, kata ketua bandar Lee.

Pegawai nombor dua bandar itu, Eric Chan, berkata dalam sidang media bahawa adalah “penting untuk mempercepatkan peralihan penuh kepada perancah logam”.

Kerajaan Hong Kong turut mengumumkan penubuhan dana HK$300 juta (AS$38.5 juta) untuk membantu mangsa kebakaran.

Pihak berkuasa bandar berkata mereka telah membuka sembilan pusat perlindungan dan sedang mengatur penginapan sementara serta dana kecemasan untuk mereka yang kehilangan rumah.

Aktiviti berkaitan pilihan raya legislatif Hong Kong, yang dijadual berlangsung pada 7 Disember, telah digantung.

ADEGAN SEPERTI NERAKA

Bahagian perancah yang hangus jatuh dari blok pangsapuri yang terbakar dalam adegan seperti neraka pada Rabu, ketika api dari dalam pangsapuri sesekali memuntahkan nyalaan keluar melalui tingkap ke langit malam yang berwarna jingga.

Perkhidmatan bomba berkata angin dan serpihan yang berterbangan berkemungkinan menyebarkan api dari satu bangunan ke bangunan lain.

Sebahagian penduduk di blok bersebelahan yang dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga dibenarkan kembali ke rumah mereka petang semalam.

Orang ramai yang terkesan dengan tragedi itu berkumpul berhampiran kompleks untuk mengatur bantuan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan anggota bomba, sebahagian daripada usaha spontan di bandar yang mempunyai antara blok kediaman tertinggi dan paling padat di dunia.

Sukarelawan mengagihkan pakaian dan kotak makanan di podium terbuka sebuah pusat beli-belah berhampiran, manakala beberapa orang mengedarkan risalah dengan maklumat tentang orang hilang.

“Ia benar-benar menyentuh hati,” kata Stone Ngai, 38, salah seorang penganjur stesen bantuan segera. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Ribut tropika Koto: PM Vietnam arah pemantauan dan kesiagaan maksimum
Next: Gempa bumi bermagnitud 6.0 landa Alaska – USGS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.