
DALAM dunia yang serba canggih dan teknologi yang kian pesat, dakwah dan hiburan menjadi dua elemen penting yang sering digunakan untuk menyampaikan mesej Islam.
Media sosial seperti Facebook, Tiktok, Youtube dan Instagram menjadi salah satu medan dakwah untuk menyebarkan nilai-nilai Islam dengan cara yang lebih kreatif untuk menarik minat generasi muda.
Akan tetapi, cabaran utama ialah bagaimana kaedah untuk menyeimbangkan dakwah dengan elemen hiburan agar mesej yang disampaikan tidak lari daripada syariat Islam.
Islam membenarkan hiburan selagi mana ia tidak melanggar apa yang ditetapkan oleh syariat.
Hiburan haruslah mempunyai unsur yang mendidik dan tidak membawa kepada dosa boleh menjadi medium untuk menyampaikan dakwah.
Sebaliknya, Rasulullah SAW sendiri tidak melarang hiburan, justru Baginda pernah mendengar syair dan melihat persembahan seni yang tidak bertentangan dengan Islam.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap perkara itu ada waktu luangnya, maka gunakanlah waktu lapang itu dengan perkara yang tidak haram.” (riwayat Ahmad)
Islam memahami keperluan manusia untuk berehat dan berhibur, asalkan ia tidak melalaikan daripada tanggungjawab utama seperti solat, bekerja dan berdakwah.
Setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh setiap Muslim hendaklah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sebagai contoh, apabila bertujuan menenangkan hati amalan yang terbaik ialah berzikir.
Betunjangkan firman Allah SWT di dalam surah al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan zikrullah tenang tenteramlah hati manusia.”
Lantaran itu, dengan menggunakan pendekatan yang santai tetapi mendidik dapat menarik perhatian generasi muda.
Seperti video pendek yang menyampaikan hadis, kata-kata motivasi Islamik atau nasihat yang seringkali mendapat perhatian.
Kita boleh lihat beberapa pendakwah yang menggunakan platform media sosial untuk memberikan motivasi, memberi inspirasi dan menyebarkan kebaikan.
Mereka menyampaikan mesej dengan pendekatan yang lembut dan relevan dengan isu semasa, menjadikan dakwah mereka mudah diterima.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”
PANDUAN DAKWAH YANG SEIMBANG
Dakwah yang seimbang bukan hanya mengenai menyampaikan ilmu agama. Ia juga menyentuh hati, membimbing serta menunjukkan kasih sayang dan bukan paksaan.
Dalam masa yang sama ianya haruslah bersasakan kepada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa mengubah atau menyimpang dari ajaran yang sebenar.
Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 3: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan untuk Aku telah cukupkan nikmat-Ku untuk kamu, dan Aku redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
Dalam masa yang sama, dakwah tidak boleh dipaksakan atau menuntut orang untuk segera berubah dalam sekelip mata.
Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Agama ini mudah, dan tidak ada seseorang pun yang memberatkan agama ini, melainkan dia akan kalah.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Umat Islam harus bekerjasama mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan ini harus dilakukan dengan semangat persaudaraan dan kasih sayang, bukan dengan cara memaksa atau menghakimi.
Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.” (surah at-Taubah ayat 71)

Pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf
ZAID bin Thabit Al Ansari telah berkata, Abu Bakar As Siddiq datang kepadaku pada waktu perang Yamamah, ketika itu Umar berada di sampingnya.
Abu Bakar berkata, “Sesungguhnya Umar mendatangiku dan mengatakan, “Sesungguhnya perang Yamamah telah membunuh para sahabat dan aku khuatir ianya akan menimpa para penghafal Al-Quran di wilayah- wilayah yang lain sehingga ramai yang gugur dari mereka kecuali engkau memerintahkan pengumpulan (pembukuan) Al-Quran”. Abu Bakar berkata kepada Umar, “Bagaimana aku hendak melaksanakan sesuatu yang tidak pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW?” Umar menjawab, “Demi Allah SWT, tindakan tersebut adalah sesuatu yang baik” Beliau terus mengulangi hal itu sampai Allah SWT melapangkan dadaku sebagaimana Dia melapangkan dada Umar dan aku sependapat dengannya. (Riwayat Bukhari)
Peperangan Yamamah bagi melawan gerakan nabi palsu telah menyebabkan ramai di kalangan hafiz-hafiz Al-Quran gugur syahid.
Oleh itu, Saidina Umar bin Al Khattab telah menyatakan kebimbangannya tentang perkara ini kepada Saidina Abu Bakar.
Saidina Umar bin Al Khattab menyarankan kepada Saidina Abu Bakar agar seluruh lembaran-lembaran Al-Quran dikumpulkan dan dibukukan dalam satu mushaf (kitab).
Pada mulanya Saidina Abu Bakar tidak menyetujui cadangan Saidina Umar ini atas alasan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah melakukan tindakan tersebut.
Namun Saidina Umar terus menyatakan hujah-hujahnya tentang kepentingan membukukan Al-Quran.
Akhirnya Saidina Abu Bakar bersetuju dengan cadangan Saidina Umar itu setelah beliau mendengar hujah-hujah Saidina Umar dan beliau merasakan bahawa apa yang dinyatakan oleh Saidina Umar itu adalah benar.
Maka dengan itu, Saidina Abu Bakar pun memanggil Zaid bin Thabit untuk melaksanakan misi tersebut. Beliau berkata kepada Zaid bin Thabit, “Engkau adalah pemuda cerdas yang tidak pernah kami ragukan. Engkau juga penulis wahyu untuk Rasulullah SAW. Maka kumpulkanlah Al-Quran”.
Zaid bin Thabit berasa berat untuk melaksanakan tugas tersebut. Lalu beliau ingin menolak tugas itu.
Maka Saidina Abu Bakar pun meyakinkan Zaid bin Thabit tentang kepentingan mengumpulkan Al-Quran dalam satu mushaf ini.
Akhirnya Zaid bin Thabit pun bersetuju untuk melaksanakan tugas tersebut.
Beliau telah mengumpulkan pelbagai lembaran Al-Quran dari merata tempat.
Ada ayat-ayat Al-Quran yang ditulis di atas pelepah tamar, ada yang ditulis di atas batu dan tulang dan ada juga yang ditulis di atas kulit haiwan.
Zaid bin Thabit juga bertemu dengan para sahabat yang menghafal Al-Quran bagi menjalankan tugas tersebut.
Apabila Al-Quran telah lengkap ditulis semula dan dibukukan di dalam satu mushaf, ianya disimpan di rumah Saidina Abu Bakar sehingga beliau wafat.
Kemudian ianya disimpan pula di rumah Saidina Umar setelah Saidina Umar dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua.
Saidina Ali bin Abu Thalib pernah berkata, “Orang yang paling besar jasanya dalam membuat mushaf adalah Abu Bakar. Dialah yang pertama kali mengumpulkan Al-Quran dalam satu mushaf”.
Hanzalah Azman