
KUCHING: Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK) baru-baru ini melancarkan program dua hari, Seri Sape: Memartabatkan Budaya 2025, bersempena ulang tahun kelima penubuhannya sebagai usaha berterusan untuk memelihara serta mengangkat seni warisan sape dalam kalangan generasi muda dan masyarakat umum.
Pengerusi PUSAK, Elizabeth Bungan Peter berkata sambutan ulang tahun itu menjadi detik bermakna buat organisasi berkenaan yang sejak awal penubuhan berperanan sebagai platform pembangunan bakat pemain sape muda di negeri ini.
“Sambutan lima tahun ini bukan sekadar meraikan perjalanan PUSAK tetapi turut menandakan komitmen kami untuk memperkuatkan ekosistem seni sape dari peringkat akar umbi,” katanya melalui sebuah kenyataan media.
Beliau berkata PUSAK terus komited memperluaskan apresiasi masyarakat terhadap seni tradisi tersebut selain memastikan generasi muda mempunyai ruang untuk berkembang secara profesional.
Elizabeth turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) atas sokongan sebagai rakan strategik dan pendana utama program berkenaan.
“Kami sangat menghargai sokongan MTCP kerana tanpa mereka, banyak ruang penyertaan untuk bakat muda tidak dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pencalonan PUSAK dalam Anugerah Seni Sarawak 2025 yang disifatkan sebagai pengiktirafan penting terhadap usaha sebuah NGO muda yang giat memperkasa landskap seni budaya negeri.

“Pencalonan ini memberikan tenaga baharu buat kami. Ia membuktikan bahawa anak muda yang memelihara tradisi turut diiktiraf dan dihargai,” katanya sambil menyarankan lebih ramai belia memanfaatkan program seperti Seri Sape untuk meningkatkan pendedahan serta membina disiplin seni.
Sebagai pengisian utama, penganjuran Seri Sape 2025 merangkumi dua acara besar.
Malam pertama menyaksikan pementasan Malam Elemen PUSAK yang berlangsung pada 21 November lalu di sebuah pusat membeli belah terkemuka di sini.
Persembahan bermula 7.00 malam itu menggabungkan artis dan kumpulan seperti SJ Borneo, Peng Leto, PUSAK Ambassadors serta artis jemputan Gabriel Fairuz Louis, selain persembahan lain yang menonjolkan keindahan serta kepelbagaian budaya.
Program diteruskan keesokan harinya dengan penganjuran forum kebudayaan bertajuk Memelihara Bunyi, Menjaga Budaya – Masa Depan Sape dalam Era Moden yang diadakan pada 4.00 petang di lokasi yang sama.
Forum tersebut menampilkan tiga panelis termasuk Dr Elena Gregoria Chai Chin Fern dari MTCP Sarawak, Karyawan Seni Negara Encik Narawi bin Rashidi serta Puan Elizabeth sendiri, manakala Dr Connie Lim Keh Nie dari Unimas bertindak sebagai moderator.
Perbincangan memberi penekanan kepada masa depan sape dalam era moden dan keperluan menjaga kesinambungan seni tersebut agar tidak terpinggir di tengah perubahan industri kreatif.
“Kita bukan hanya menjaga bunyi sape tetapi menjaga jiwa dan cerita di sebaliknya,” kata Elizabeth ketika mengulas kepentingan pemuliharaan budaya.