Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Buku ‘Revival of Sarawak Songket and Keringkam’ raikan legasi arwah Datuk Amar Juma’ani
  • TEMPATAN

Buku ‘Revival of Sarawak Songket and Keringkam’ raikan legasi arwah Datuk Amar Juma’ani

Utusan Sarawak 6 hours ago
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berucap pada majlis penyerahan buku berkenaan kepada Premier Sarawak, di Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Sarawak hari ini memperingati warisan seorang tokoh yang mengangkat martabat songket dan keringkam menerusi pelancaran buku ‘The Revival of Sarawak Songket and Keringkam: Honouring Datuk Amar Juma’ani’.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata buku tersebut meraikan sumbangan besar arwah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, yang bukan sahaja memelihara seni tekstil Melayu Sarawak tetapi menyuntik nafas baharu ke dalam tradisi berusia ratusan tahun.

Menurut beliau, arwah Datuk Amar Juma’ani meninggalkan kesan mendalam dalam komuniti seni negeri ini melalui kepimpinan, visi dan kasih sayang terhadap warisan budaya.

“Songket dan keringkam bukan sekadar busana indah. Ia helaian ingatan yang membentuk identiti Melayu sejak turun-temurun. Setiap benang membawa makna tentang rumah, asal-usul dan warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Buku ‘The Revival of Sarawak Songket and Keringkam: Honouring Datuk Amar Juma’ani’ yang diadakan di sini, hari ini.

Gerakan pemulihan songket dan keringkam bermula pada 2018 melalui Projek Inovasi Warisan Sarawak yang dipimpin arwah Datuk Amar Juma’ani. 

Usaha ini kemudian berkembang menjadi sebuah ekosistem lengkap merangkumi penyediaan bahan mentah, latihan artisan, pembangunan reka bentuk, kawalan kualiti, penjenamaan, perlindungan harta intelek dan pembukaan akses pasaran.

Pada hari ini, projek tersebut telah berkembang ke Kuching, Samarahan, Gedong, Betong, Sibu, Rajang, Limbang dan Lawas, memberi manfaat kepada keluarga serta komuniti yang telah lama menghidupkan seni kraftangan ini. Sehingga 2025, seramai 1,022 penenun dan penyulam telah dilatih di seluruh Sarawak.

“Antara kisah yang paling menyentuh ialah sehelai keringkam ditempah khas untuk anaknya, Dayang Norjihan, ketika masih dalam kandungan. 

“Arwah meniatkan ia dipakai pada hari perkahwinan dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Ia melambangkan kasih sayang beliau yang menenun warisan jauh sebelum ia terlihat oleh orang lain,” tambahnya. 

Beliau menegaskan bahawa buku berkenaan bukan sekadar dokumentasi seni, sebaliknya sebuah penghargaan kepada artisan yang mempertahankan tradisi serta komuniti yang memastikan kelangsungannya.

Buku itu, katanya, turut mengabadikan visi seorang tokoh yang berjaya menyalakan semula api seni tekstil Melayu Sarawak untuk generasi masa depan.

Beliau menekankan kepentingan kesinambungan melalui latihan generasi muda, pemeliharaan motif dan teknik asli serta pengukuhan ekosistem industri.

Kementerian dan agensi berkaitan termasuk Majlis Kraf Sarawak, CENTEX dan pertubuhan bukan kerajaan akan terus komited meneruskan usaha ini sebagai sebahagian daripada pemeliharaan warisan negeri selain menjadi pemacu ekonomi kreatif tempatan.

Dengan peningkatan pengiktirafan antarabangsa, tekstil Sarawak diyakini mampu memberi sumbangan besar kepada pelancongan budaya, industri kreatif dan pemerkasaan ekonomi masyarakat.

“Ketika kita melancarkan buku ini, marilah kita menyambung kerja yang telah arwah mulakan, menghargai para artisan, mengukuhkan ekosistem dan memastikan setiap helaian masa depan membawa sekeping daripada hatinya,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Lebih 2,000 anggota APM dikerah hadapi risiko banjir di Sarawak
Next: PUSAK raikan 5 tahun pemerkasaan seni sape melalui Seri Sape: Memartabatkan Budaya 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.