
PETALING JAYA: Sektor minyak sawit Malaysia dijangka kekal stabil menjelang 2026, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata jangkaan itu seiring dengan kenaikan semula harga minyak kacang soya yang akan merapatkan jurang harga yang besar antara kedua-dua minyak tersebut.
“Apabila harga minyak kacang soya naik semula, ia akan menjadi lebih baik untuk sektor minyak sawit kita.
“Oleh itu, jurang harga antara minyak kacang soya dan minyak sawit akan menjadi kecil,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog industri bersama pembeli minyak sawit dari China di sini hari ini.
Beliau berkata harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan melebihi RM4,000 satu tan menjelang akhir tahun.
“Hari ini, harga MSM masih melebihi RM4,200 satu tan. Ini adalah normal untuk pasaran turun naik. Kami yakin harga akan diniagakan melebihi RM4,000 satu tan dan kami optimis dengan prospek ini,” katanya.
Beliau berkata Malaysia terus memberi tumpuan kepada meningkatkan hasil minyak sawit, menggunakan bahan tanaman yang baik dan mengelak aktiviti penebangan hutan.
“Kami juga memberi tumpuan kepada menjadikan sisa minyak sawit sebagai ekonomi kitaran seperti menggunakan tandan kosong (EFB) sebagai bahan mentah untuk tenaga boleh baharu dan minyak masak terpakai (UCO) untuk bahan api penerbangan mampan (SAF),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata banjir tidak akan menjejaskan pengeluaran minyak sawit.
“Pada masa ini, kami belum menerima apa-apa laporan (mengenai banjir). Kebimbangan saya adalah pekebun kecil kerana situasi sedemikian boleh menjejaskan mereka dari segi hasil dan pendapatan mereka.
“Bagaimanapun, buat masa ini, sektor sawit masih baik,” katanya.
Malaysia kekal sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, selepas Indonesia. Setakat ini, Malaysia telah menghasilkan sebanyak 19.4 juta tan minyak sawit berbanding 50 juta tan oleh Indonesia.
Terdahulu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menganjurkan lawatan rangkaian perdagangan untuk 37 pembeli minyak sawit terkemuka China bagi memperkukuh kerjasama minyak sawit antara kedua-dua negara.
Lawatan yang diadakan dari 25 hingga 27 November 2025 itu termasuk lawatan ke tapak utama seperti ladang dan kemudahan penapisan apabila mereka boleh mendapat pandangan secara langsung mengenai ekosistem pengeluaran Malaysia yang mampan dan berkualiti tinggi. – Bernama