
DALAM landskap dunia yang bergerak pantas dan sarat dengan gangguan digital, puisi hadir sebagai satu bentuk penolakan halus terhadap kebisingan zaman. Ia bukan lagi sekadar hasil renungan romantik atau luahan melankolia tradisional, sebaliknya berfungsi sebagai ruang perlindungan jiwa, tempat manusia kembali memeluk keheningan dan meneliti luka-luka yang sering tersembunyi di celah rutin harian.
Hakikat ini berbeza dengan puisi-puisi zaman dahulu, yang menjadikan puisi sebagai alat kebangkitan bangsa dan suara penentangan terhadap penjajahan.
Sebelum merdeka, puisi merakam penderitaan rakyat, menyemarakkan semangat perjuangan dan menyatukan jiwa kolektif melalui bahasa kias dan simbol alam.
Namun selepas merdeka, puisi mula beralih ke ruang renungan yang lebih peribadi dan intelektual, menyoal persoalan identiti, perubahan sosial dan keresahan manusia dalam dunia pascakolonial, sekali gus memperlihatkan peralihan daripada suara kolektif kepada kesedaran individu yang masih berpaut pada sejarah bangsa.
Walaupun zaman kini telah sedikit berbeza, namun keperluan manusia terhadap makna masih sama.
Penyair muda dan kontemporari di Malaysia semakin cenderung melihat puisi sebagai medium kesedaran, satu bentuk protes senyap terhadap kekosongan makna dalam kehidupan moden.
Seperti yang sering ditegaskan oleh Muhammad Haji Salleh dalam renungan pascakolonialnya, puisi moden ialah usaha memahami kembali kedudukan diri dalam dunia yang tidak lagi stabil, dunia yang sentiasa berubah dari segi nilai, makna dan identiti (dlm. Awang Azman Awang Pawi, 2008).
Pandangan ini selari dengan pemikiran A. Samad Said yang dalam pelbagai kumpulan puisinya seperti Liar di Api, Benih Harapan, Daun Semalu Pucuk Paku dan Balada Hilang Peta sering merakam kejujuran dan getar batin manusia biasa melalui suara pekerja kota, ibu miskin, pencinta yang tercalar dan warga kecil yang terpinggir.
Melalui dunia puisinya ini, dapat difahami bahawa bagi A. Samad Said, karya sastera ialah ruang pengakuan diri yang paling jujur, tempat manusia menyaring kesunyian, ketakutan dan harapan tanpa perlu bertopeng di hadapan masyarakat.
Seperti yang turut ditekankan oleh Zurinah Hassan (2008) dalam Puisi Melayu Moden: Kajian Teori Pengkaedahan Melayu, puisi moden bukan sahaja berbicara tentang keindahan, tetapi tentang kebenaran manusiawi yang sering terselindung dalam diam.
Maka, dalam keheningan baris-baris ini, pembaca sebenarnya sedang diajak menyelami dunia batin yang rapuh, namun penuh makna, satu dunia yang mencerminkan pergulatan jiwa generasi masa kini.
Selain itu, puisi moden tidak hanya terikat kepada keindahan bahasa, malah menjadi wahana bagi penyataan pemikiran, keresahan dan pencarian makna dalam kehidupan manusia.
Menurut Wellek dan Warren (1977), kesusasteraan berperanan sebagai satu bentuk struktur simbolik yang mencerminkan pengalaman manusia secara tersirat melalui bahasa figuratif dan binaan estetik.
Berangkat daripada perbincangan inilah, tiga buah puisi yang tersiar pada minggu lepas, iaitu “Pada Satu Angan Itu”karya Adie Abd Gani, “Sendiri di Senja” oleh Fairuz Ismail dan “Sumbu” nukilan Rona Penso, akan dikupas sebagai suara puisi kontemporari yang berbisik dengan nada lembut tetapi meresap ke dasar kesedaran.
Puisi-puisi ini tidak hadir sebagai luahan yang lantang atau protes terbuka, sebaliknya memanfaatkan simbol alam, waktu dan cahaya untuk mengungkap pencarian makna, kesunyian diri dan keikhlasan hidup dalam dunia yang semakin rapuh oleh kebisingan moden.
Puisi pertama berjudul “Pada Satu Angan Itu” merupakan hasil nukilan Adie Abd. Gani. Dari sudut tema, puisi ini berpaksikan kerinduan terhadap kebebasan dan impian yang tidak kesampaian.
Penyair segera mengheret pembaca ke dalam ruang alam yang luas melalui ungkapan seperti “lapang langit — birunya tak bertepi” dan frasa “buat layahan unggas” serta “dan ambang awan/kembali menjadi kanak-kanak riang”.
Perkataan seperti “lapang”, “biru” dan “riang” membina suasana yang penuh kebebasan dan kepolosan, seolah-olah dunia ini tidak bersempadan. Pada tahap ini, alam digambarkan sebagai ruang yang bebas daripada tekanan dan batasan, sekali gus mencerminkan keinginan batin untuk kembali kepada kesederhanaan dan kegembiraan.
Namun, suasana ini berubah secara mendadak apabila penyair menulis “namun tersudut di dada malam”.
Perkataan “tersudut” dan frasa “dada malam” membayangkan perasaan terperangkap, terasing dan kehilangan arah, sekali gus menandakan runtuhnya angan yang sebelum ini terbang bebas di langit ilusi.
Peralihan suasana daripada ruang terang kepada ruang gelap ini merupakan titik penting dalam struktur makna puisi.
Di sinilah terlihat konflik dalaman antara impian dan realiti, antara kebebasan yang diinginkan dan batasan yang memerangkap jiwa manusia.
Dari segi bentuk, puisi ini berbentuk bebas tanpa pola rima tetap, namun masih mempunyai kesatuan struktur yang dikawal oleh pergerakan emosi dari terang kepada gelap.
Penyair menggunakan gaya bahasa personifikasi seperti “angin menjelma melodi dan nada” dan “rerumputan menari girang”, yang menjadikan alam seolah-olah hidup dan turut berperasaan.
Metafora paling kuat hadir dalam baris “angan sekecil pelita / mendamba secemerlang purnama”.
Perkataan “pelita” melambangkan harapan yang kecil, manakala purnama melambangkan impian besar yang hampir mustahil dicapai.
Imej bunyi turut hadir melalui frasa “simfoni lirik perbukitan” yang memperkaya pengalaman estetik puisi ini dengan unsur auditif.
Kekuatan utama puisi ini terletak pada kehalusan simbol dan keindahan imejan alam yang kaya.
Frasa “wangi sekuntum puspa / menjemput rindu lebah” memperlihatkan keupayaan penyair membentuk makna melalui hubungan semula jadi antara bunga dengan lebah, yakni antara keindahan dengan keinginan.
Walau bagaimanapun, tema impian yang tidak tercapai merupakan tema yang lazim dalam puisi kontemporari.
Baris penamat “masih tak berputik nyalanya” juga memberi kesan tergantung yang indah, namun jika diperkukuh dengan satu imej yang lebih tajam seperti kegelapan mutlak atau pelita yang padam sepenuhnya, impaknya mungkin menjadi lebih menggoncang emosi pembaca.
Seterusnya, puisi “Sendiri di Senja” karya Fairuz Ismail mengangkat tema kesendirian sebagai jalan menuju kesedaran dan penerimaan takdir.
Baris “Sendiri,/Bersama sinar mentari, meniti batuan, beralas pasir” menggabungkan perasaan kesepian dengan kehadiran alam yang masih setia menemani.
Frasa “kudengar suara angin menyisir wajahku” dan “terasa hangat di tubuh” menjadikan pengalaman kesendirian ini bersifat fizikal, mendalam dan nyata.
Paling penting ialah baris “Detik demi detik / Membuka pintu mengenal diri” yang secara jelas menyatakan proses introspeksi sebagai inti puisi ini.
Bentuk puisi ini menyerupai sebuah pergerakan perlahan yang bersifat sinematik. Imej yang muncul berturutan seperti “Mendengar burung pulang”, “Melihat mentari jatuh perlahan” dan “ombak / seakan memendam sayu yang sukar diungkap” membina suasana senja yang penuh simbol.
Burung yang pulang menggambarkan berakhirnya suatu perjalanan, manakala mentari yang jatuh melambangkan pengakhiran sebuah fasa kehidupan.
Senja dalam puisi ini bukan sahaja latar masa, tetapi juga lambang kepada peralihan batin dan pengalaman dalaman manusia.
Penyair juga menggunakan gaya bahasa personifikasi seperti “Dan ombak / seakan memendam sayu” untuk memindahkan perasaan manusia kepada unsur alam. Dengan cara ini, alam tidak lagi menjadi latar kosong, sebaliknya berfungsi sebagai medium yang menanggung dan mencerminkan emosi penyair.
Bahasa yang digunakan sederhana dan langsung, tetapi tidak dangkal. Kesederhanaan inilah yang menjadikan mesej puisi sampai dengan jelas dan menyentuh, tanpa perlu bergantung kepada ungkapan yang berlebihan.
Kekuatan puisi ini jelas pada bahagian akhirnya apabila penyair menulis “Cahaya surut ke perut malam, / Masa menelan riak hari / Angin menuntun langkahku / Ke jalan pulang, / Ke dalam redha / Yang tertulis sejak azali.”
Perkataan “redha” dan frasa “tertulis sejak azali” mengangkat puisi ini ke dimensi spiritual. Kesendirian akhirnya tidak berakhir dengan kehampaan, tetapi menemui ketenangan dan penerimaan.
Namun begitu, penggunaan unsur alam seperti burung, mentari dan ombak merupakan simbol yang sering muncul dalam puisi, menyebabkan unsur kebaharuan sedikit berkurang.
Sekiranya penyair memecahkan pola simbol biasa ini dengan satu imej yang lebih luar jangka, puisi ini berpotensi menjadi lebih segar dan berani dari segi ekspresi.
Puisi terakhir, iaitu “Sumbu” karya Rona Penso mengangkat tema keikhlasan dalam keterbatasan dan makna kewujudan yang kecil tetapi tetap mempunyai nilai yang besar. Penyair membuka puisi dengan perkataan tunggal “Sumbu” yang terus menjadi simbol utama keseluruhan teks.
Dalam baris “nyalamu / ada angin kadang mengusik / tempias hujan derasnya jika menyimbah”, sumbu digambarkan sebagai entiti yang rapuh, mudah terancam, tetapi tetap tidak kesal untuk terus menyala.
Frasa “kau tak kesal padam” memperlihatkan sifat pasrah yang tidak bersifat lemah, sebaliknya menunjukkan kekuatan dalaman untuk terus memberi makna walaupun berisiko kehilangan nyala itu sendiri.
Dari segi bentuk, puisi ini bersifat ringkas dan padat, tanpa banyak huraian, selari dengan sifat sumbu yang kecil dan senyap.
Pengulangan perkataan “nyala” dan “terang” membina fokus makna yang konsisten, di samping menegaskan fungsi sumbu sebagai sumber cahaya.
Ungkapan seperti “bicaramu hanya sejemput terang” dan “menyuluh sedepa ruang” menunjukkan bahawa walaupun sumbangannya kecil, ia tetap bermakna dan memberi kesan kepada sekelilingnya.
Melalui baris “bulan pun tak menyangkal / akan nyalamu / matahari juga”, penyair meletakkan sumbu kecil itu dalam konteks alam semesta yang luas, seolah-olah mengiktiraf kewujudannya sebagai sebahagian daripada keseimbangan kosmos.
Puisi ini menyampaikan satu falsafah kehidupan yang jelas, iaitu bahawa nilai sesuatu tidak terletak pada besarnya pengaruh, tetapi pada keikhlasan niat.
Hal ini dapat dilihat dalam baris “meski manfaatmu tak pada besar khalayak” dan “ikhlasmu / dalam kelam kau hadirkan suluh”.
Di sini, sumbu menjadi simbol manusia biasa yang mungkin tidak disanjung ramai, namun tetap menyumbang dalam diam.
Penyair berjaya mengangkat tema yang sederhana menjadi satu perenungan yang bermakna tentang peranan kecil dalam kehidupan.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ungkapan yang sedikit bersifat prosaik atau terlalu langsung seperti frasa “tumpang berbakti” dan “baktimu”.
Penggunaan perkataan ini menjadikan mesej puisi beralih daripada bersifat simbolik kepada lebih bersifat pernyataan langsung.
Sekiranya unsur bakti itu dibiarkan tersirat melalui imej cahaya dan kegelapan tanpa disebut secara eksplisit, kesan estetik puisi ini akan menjadi lebih halus, lebih mendalam dan lebih berbekas dalam pemikiran pembaca.
Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa tiga puisi yang dikupas ini menggambarkan kesunyian manusia moden yang sarat dengan pencarian makna.
Melalui simbol alam, waktu dan cahaya, ketiga-tiga penyair menzahirkan perasaan rindu, kesepian, kekecewaan, keikhlasan dan penerimaan diri dalam dunia yang semakin sibuk dan tidak menentu.
Walaupun terdapat penggunaan imej yang biasa ditemui dalam puisi, penyampaian yang jujur dan halus menjadikan puisi-puisi ini tetap berkesan serta mampu meninggalkan kesan emosi dan pemikiran kepada pembaca. Teruskan berkarya!
Oleh Dilah Tuah