
SARAWAK sekali lagi mencatat hasil tertinggi antara negeri-negeri di Malaysia dengan unjuran mencecah RM13.1 bilion bagi tahun depan.
Jika dicampur unjuran hasil semua 11 negeri di Semenanjung untuk tahun depan, jumlahnya dianggar RM14.7 bilion, lebih sedikit di sebalik hasil Sarawak untuk tahun depan berkurangan RM2.1 bilion atau 15 peratus daripada unjuran asal RM14.2 bilion, disebabkan penurunan berterusan harga minyak mentah global, yang berada pada purata AS$69 setong sepanjang tahun.
Begitu pun, Sarawak mengatasi semua negeri untuk dua tahun berturut-turut dari segi punggutan hasil.
Unjuran sebenar sebahagian besar negeri-negeri di Semenanjung hanya dapat diketahui menjelang akhir Disember ini setelah semuanya mengadakan pembentangan belanjawan 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Tujuh negeri sudah membentangkan unjuran untuk tahun depan iaitu Selangor, Johor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah – dengan jumlah unjuran hasil 2026 adalah RM11.72 bilion.
Empat negeri lagi belum bersidang iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis tetapi jika mengambil kira unjuran hasil 2025 seperti dibentangkan pada akhir tahun lalu, jumlahnya cuma RM2.35 bilion.
Andailah selepas pembentangan Bajet 2026 bagi empat negeri itu nanti, bezanya tidak akan jauh meskipun ada peningkatan seperti Pahang.
Sabah satu-satunya negeri yang boleh mencapai hampir separuh hasil Sarawak. Sidang DUN Sabah hanya akan bersidang selepas pilihan raya negeri nanti tetapi unjuran hasil 2025 yang dibentangkan akhir tahun lalu, mendapati unjuran hasil Negeri Bawah Bayu itu adalah sebanyak RM6.44 bilion.
Inilah pola hasil negeri pengeluar minyak seperti Sabah, Terengganu dan Kelantan – hasilnya melebihi satu bilion ringgit selain Sarawak.
Pada pembentangan bajet akhir tahun lalu bagi unjuran 2025, Sarawak mengunjurkan RM14.2 bilion, mengatasi hasil semua 11 negeri di Semenanjung dengan anggaran hasil kira-kira RM12.83 bilion.

Selangor membentangkan Belanjawan 2026 pada 14 November lalu, bertemakan ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’ seperti disebut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tidak pasti apa dimaksudkan ‘Selangor Juara’ dengan Amirudin mengumumkan bahawa negeri itu menganggarkan hasil boleh dikutip berjumlah RM2.8 bilion untuk tahun depan.
BELANJAWAN SELANGOR DEFISIT
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkenalkan tema ‘Memperkasa Rakyat, Memajukan Kemakmuran, Membina Masa Depan Berdaya Tahan”, dengan ‘menjuarai’ hasil negeri 2026, dianggar RM13.1 bilion pada sidang DUN Isnin lalu.
Tetapi Belanjawan Selangor 2026 mengalami defisit dianggarkan berjumlah RM430 juta, manakala Belanjawan Sarawak 2026 menghasilkan lebihan sebanyak RM144 juta, sekali lagi tidak berdepan defisit seperti juga Belanjawan 2025 yang menjana lebihan RM486 juta.
Penyumbang utama hasil Selangor ialah Premium Tanah sebanyak RM1.02 bilion atau 36.3 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan, diikuti hasil Cukai Tanah sebanyak RM691.27 juta (24.7 peratus) dam Pemberian Persekutuan berjumlah RM263.16 juta (9.4 peratus).

Penyumbang utama hasil Sarawak pula ialah RM4.6 bilion melalui Cukai Jualan Negeri (SST) termasuk RM3.5 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain; RM885 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit mentah; RM75 juta daripada loteri; RM88 juta daripada produk aluminium; RM32 juta daripada ferro-aloi; RM26 juta daripada produk kayu; RM13 juta daripada polisilicon.
Sarawak turut meraih RM650 juta daripada royalti air mentah; RM226 juta daripada royalti perhutanan dan premium kayu; RM301 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain.
Hasil Bukan Cukai pula dianggarkan sebanyak RM6.3 bilion atau 49 peratus terutamanya daripada RM2.6 bilion pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas; RM2.3 bilion daripada pendapatan dividen; RM811 juta daripada pendapatan faedah; RM350 juta daripada premium tanah; RM120 juta pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum; RM150 juta daripada sumber lain termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewaan.

Negeri kedua terbesar kutipan hasil di Semenanjung ialah Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada 13 November lalu mengumumkan bahawa negeri itu terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan merekodkan unjuran hasil negeri meningkat kepada RM2.55 bilion, sekali gus menjadikan Johor antara negeri dengan kedudukan fiskal paling kukuh di Malaysia.
Beliau berkata, Belanjawan Johor 2026 turut mencatat lebihan sebanyak RM4.45 juta susulan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan keberkesanan strategi ekonomi negeri.
HASIL MINYAK
Ketiga terbesar hasil negeri di Semenanjung ialah Terengganu kerana ada minyak. Unjuran hasilnya untuk 2026 ialah RM1.998 bilion dengan lebihan 3.0 peratus atau RM60 juta.
Negeri itu meningkatkan hasil janaan negeri kepada RM288.59 juta, iaitu RM85.36 juta daripada Hasil Cukai dan RM203.23 juta daripada Hasil Bukan Cukai, di samping RM1.709 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil menjadikan keseluruhan hasil berjumlah RM1.998 bilion.
Ini kemudian diikuti Perak, dengan unjuran hasil 2026 ialah RM1.61 bilion, merekodkan lebihan bajet empat tahun berturut-turut.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan belanjawan 2026 kelmarin berkata unjuran hasil itu meningkat RM80 juta berbanding Belanjawan 2025.
“Perak sekali lagi merekodkan sejarah apabila pada seawal 30 September lalu, kutipan hasil negeri sudah pun melepasi angka RM1 bilion, sesuatu yang membuktikan kedudukan fiskal negeri yang kian mengukuh,” katanya.

Untuk 2026, kerajaan negeri Perak menganggarkan hasil sebanyak RM838 juta dengan peningkatan RM48 juta berbanding anggaran tahun 2025.
Sebenarnya, hanya Selangor, Johor, Terengganu, Perak dan Pahang mengaut unjuran hasil melebihi RM1 bilion untuk 2025.
Tetapi kali ini, unjuran untuk 2026, Pulau Pinang dan Kelantan masuk dalam senarai baharu catatan melebihi RM1 bilion.
Tetapi Pulau Pinang diterajui DAP saban tahun mengalami defisit namun berjaya mengurangkannya.
“Berdasarkan anggaran terkini, defisit bagi 2026 dijangka hanya RM19.92 juta, berbanding RM33.63 juta pada 2025 dan RM514.53 juta pada 2024. Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan.
“Berdasarkan kutipan hasil terkini dan jangkaan hasil diterima sebelum penutupan akaun tahun semasa, berkemungkinan dijangka akan mencatat surplus atau lebihan hasil,” kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 14 November lalu.
Ketika membentang Belanjawan 2026 Isnin lalu, Premier Sarawak antara lain menyatakan bahawa Sarawak akan mempromosikan pembangunan inklusif dan pengagihan kekayaan yang saksama bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan.
“Kita akan merapatkan jurang pembangunan wilayah dan memastikan kemakmuran dikongsi oleh semua segmen masyarakat,” kata Abang Johari.
Lihatkan apa yang terkandung dalam Belanjawan Sarawak 2026 terutama Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan untuk pelajar, faedah untuk warga emas dan sebagainya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak