Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Adam pemain dram cilik buktikan usia bukan halangan
  • INSPIRASI

Eksklusif: Adam pemain dram cilik buktikan usia bukan halangan

Utusan Sarawak 7 hours ago
TERBAIK…Adam Rayyan Frankie ketika melakukan persembahan bermain dram di sekolahnya.

KOTA SAMARAHAN: Setiap kanak-kanak dianugerahkan bakat tersendiri, namun tidak semua memiliki keberanian untuk menonjolkannya di hadapan khalayak.

Berbeza dengan Adam Rayyan Frankie dari Sekolah Kebangsaan (SK) Merdang, seorang murid Tahun 3 Dinamik yang bukan sahaja berbakat bermain dram, tetapi juga berani berdiri di atas pentas untuk menyalurkan kreativiti serta semangatnya melalui setiap rentak yang dipersembahkan.

Pada usia baharu sembilan tahun, Adam sudah menunjukkan keyakinan serta karisma luar biasa setiap kali memegang stik dram.

Mahir bermain dram seperti pemain dram profesional, ritma yang lahir daripada tangannya bukan sahaja mempamerkan ketepatan teknik, malah mencerminkan minat mendalam yang jarang dimiliki kanak-kanak seusianya.

PRAKTIS…Adam Rayyan Frankie ketika melakukan latihan bermain dram pada masa lapang.

Berasal daripada komuniti Iban, perjalanan muzik Adam bukan sekadar hobi tetapi sesuatu yang mengalir dalam jiwanya sejak kecil.

“Minat muzik dari kecil,” katanya ringkas, namun cukup untuk menggambarkan permulaan sebuah cerita panjang.

Segalanya bermula dengan sebuah dram plastik ketika Adam berusia empat hingga lima tahun. Meskipun hanya set mainan, dia memukulnya dengan penuh perasaan, setiap pukulan mengikut tempo lagu dengan betul, seolah-olah sudah berdiri di atas pentas besar.

Pada usia enam tahun, impiannya memiliki dram sebenar akhirnya tercapai, menandakan permulaan fasa lebih serius.

Tanpa guru pada awalnya, Adam hanya berpandukan telinga, lagu menjadi gurunya, irama menjadi buku teksnya.

SESI LATIHAN… Adam pada sesi latihan kelas dram.

Namun pada usia lapan tahun, dia akhirnya menjejakkan kaki ke kelas dram di Majlis Seni Sarawak, di bawah bimbingan cikgu Dadi, yang terus melihat potensi luar biasa dalam diri murid kecil ini.

Daripada keseluruhan alat dram, Adam paling menyukai peralatan muzik, ‘snare’.

“Snare beri bunyi paling karakter pada lagu,” katanya sambil memegang stik dram seolah-olah ia lanjutan daripada tangannya sendiri.

Lagu kegemarannya pula ialah Dayang Bintang nyanyian penyanyi terkenal Iban, Mawat, yang sering menjadi pilihan dalam sesi latihannya.

Apabila ditanya tentang impiannya membentuk band sendiri, jawapannya tegas, dram wajib menjadi ‘takhta’ utamanya, sementara gitar bass menjadi pelengkap bagi kumpulan muzik yang diidamkannya.

Tentang perasaannya ketika beraksi di hadapan penonton, Adam menjawab dengan penuh kejujuran, “Gembira… sebab boleh hiburkan ramai orang.”

Di sebalik tubuh kecil itu tersimpan keberanian yang jarang ada pada kanak-kanak seusianya.

Idola yang menginspirasinya pula ialah seorang pemain dram yang sering disebutnya sebagai ‘Sudoku Drum.’

Namun perjalanan itu tidak mudah. Cabaran terbesar baginya adalah koordinasi tangan dan kaki untuk memastikan tempo kekal konsisten.

Latihan ini menjadi yang paling mencabar, namun juga paling mematangkan.

Dalam masa setahun, Adam memasang impian sederhana tetapi besar maknanya: tampil lebih yakin di hadapan khalayak. Dengan kemahuan dan disiplin yang ditunjukkan, impian itu tidak mustahil digenggamnya.

Menurut ibunya, Lilian, sokongan terhadap minat anaknya itu bukan sekadar kewajipan, tetapi satu kebanggaan.

“Saya bangga melihat bagaimana minat kecilnya berkembang menjadi sesuatu yang begitu bermakna dalam hidupnya.

“Setiap kali Adam duduk di belakang dram, saya nampak keyakinan dan kegembiraan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata.”

Dengan semangat, dedikasi, serta irama yang semakin mantap, tidak mustahil suatu hari nanti nama Adam Rayyan akan berdiri megah sebagai antara bakat dram muda paling menyerlah di Sarawak.

Oleh Norman B

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Alyssa menemui ketenangan melalui bunga kawat bulu: Dari hobi kecil ke sumber inspirasi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.