
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengingatkan semua penganjur acara yang menggunakan mercun atau bunga api agar memastikan kawasan penganjuran dibersihkan dalam tempoh 24 jam bagi menjamin kebersihan, keselamatan dan kelancaran sistem saliran di ruang awam.
Pengerusinya, Clarence Ting, berkata semua sisa termasuk serpihan mercun, bunga api, sampah serta bahan berkaitan yang ditinggalkan di kawasan awam seperti kaki lima, tempat letak kereta, longkang, laluan pejalan kaki, tepi jalan dan kawasan sekitarnya, hendaklah dibersihkan oleh penganjur dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi menjaga kebersihan dan mengelakkan masalah longkang tersumbat.

“Sekiranya terdapat kegagalan mematuhi arahan ini, pihak majlis akan mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menuntut kos pembersihan daripada pihak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa kerjasama semua penganjur dan orang awam dalam memastikan persekitaran komuniti yang bersih, selamat dan teratur.