
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menegaskan rundingan mengenai Geran Khas di bawah MA63 dengan Kerajaan Persekutuan masih berjalan, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Sabah terhadap pulangan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri–Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata keputusan Mahkamah Tinggi Sabah menegaskan obligasi kewangan Persekutuan terhadap kedua-dua negeri tertakluk kepada semakan semula serta pengawasan kehakiman.
“Walaupun keputusan tersebut khusus kepada Sabah, ia mengukuhkan prinsip bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab perlembagaan terhadap Sabah dan Sarawak, dengan semakan kewangan perlu dilakukan setiap lima tahun mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lidam Assan (Katibas – GPS) pada persidangan hari ketiga Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini.
Sharifah Hasidah menjelaskan, Sarawak telah mengemukakan formula cadangan semakan Geran Khas kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Artikel 112D, dan keputusan mahkamah Sabah wajar dijadikan petunjuk agar rundingan dimuktamadkan dengan segera.
“Rundingan masih berjalan, dan kerajaan Sarawak menekankan bahawa formula muktamad perlu adil, telus, dan mencerminkan sumbangan Sarawak kepada negara, melalui dialog, rundingan, dan perbincangan teknikal bersama Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025, hasil semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Sabah Law Society (SLS) diketuai Roger Chin, menegaskan bahawa Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan kekal sah serta berkuat kuasa sepenuhnya, menjadikan pelaksanaan formula pulangan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan sebagai tanggungjawab berperlembagaan.
Sharifah Hasidah berkata keputusan ini merupakan langkah signifikan ke arah memastikan keadilan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan obligasi kewangan Persekutuan.
“Kerajaan Sarawak kekal teguh mempertahankan hak perlembagaannya dan akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam kerangka MA63,” katanya.
Oleh MASRIN AFFIRAH