
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak sedang meneliti kaedah paling berkesan untuk menyekat sistem judi dalam talian daripada beroperasi di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata usaha itu penting memandangkan kegiatan perjudian atas talian beroperasi menggunakan sistem yang membolehkan pemain mengaksesnya dari mana-mana sahaja melalui peranti pintar.
“Saya telah memikirkan cara lebih efektif untuk menghentikan kegiatan ini.
“Judi online(atas talian) menggunakan sistem, dan sistem ini mungkin kita boleh ‘block’.
“Jika kita berjaya block (sekat) sistem tersebut, maka tiada siapa boleh main judi secara online,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Jalan Badrudin, di sini hari ini.
Mohamad Zainal berkata pihaknya kini mengkaji kelemahan sistem berkenaan dan mencari teknologi yang boleh digunakan untuk menyekat akses kepada laman web serta platform perjudian tersebut.
“Kalau ada alat atau teknologi yang membolehkan kita block sistem judi online itu, kita boleh mulakan di Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan undang-undang berkaitan perjudian termasuk Akta Rumah Judi Terbuka sedang melalui proses penambahbaikan agar selari dengan modus operandi perjudian digital masa kini.
Menurutnya, kegiatan judi dalam talian kini lebih sukar dibuktikan kerana pengumpulan bukti tidak sama seperti operasi judi konvensional.
Kesedaran masyarakat penting dan Mohamad Zainal turut mengingatkan masyarakat bahawa perjudian tidak pernah membawa keuntungan kepada pemain.
“Judi ini penyakit, barah. Belum ada pemain judi yang menjadi kaya. Yang kaya hanyalah penganjur,” tegasnya sambil menambah bahawa gejala judi dan dadah sering membawa kepada jenayah lain kerana keperluan mencari wang.
Oleh Shahrul Qaizat