
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 22 Disember ini untuk memutuskan permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kewujudan titah adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan dan enam lagi, mengesahkan tarikh itu selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching melalui Zoom.
“Ya, tarikh keputusan telah diawalkan kepada 22 Disember, 9.00 pagi,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Semalam, Loke menetapkan 5 Januari tahun depan untuk menyampaikan keputusannya bagi permohonan Najib berhubung titah adendum selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Menerusi sepucuk surat yang diperoleh media, Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib, telah menulis kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syeela Marlina Uttaman untuk menimbang semula tarikh keputusan.
Surat itu memaklumkan bahawa titah adendum tersebut telah dikeluarkan pada 29 Januari 2024 dan sepatutnya dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan pada tarikh sama.
“Anak guam kami berusia 72 tahun dan telah berada dalam tahanan hampir dua tahun sejak titah adendum dikeluarkan, jauh melebihi apa yang dimaksudkan sedangkan ia dengan jelas menyatakan bahawa beliau boleh menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
“Sebaliknya, beliau terus ditahan di penjara sehingga hari ini hanya disebabkan oleh prosiding yang sedang berlangsung di mahkamah yang mulia ini. Setiap hari tambahan yang dihabiskan dalam tahanan adalah satu hari kebebasan yang tidak akan dapat dikembalikan kepadanya,” menurut surat itu.
Shafee & Co turut merujuk kepada arahan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim agar perkara ini diselesaikan dalam tempoh sebulan dari tarikh ia dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk rayuan pada 13 Ogos lepas.
“Dalam apa jua keadaan, jika perintah Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lepas dipatuhi sepenuhnya, perkara dalam prosiding semasa sepatutnya sudah selesai pada 14 Sept lepas,” menurut surat itu yang turut memaklumkan bahawa penahanan berterusan Najib telah menyebabkan beliau mengalami tekanan yang hebat, trauma serta kemerosotan ketara terhadap kesejahteraan emosi dan kesihatannya secara keseluruhan.
Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan menyerahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya di hadapan hakim baharu, selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung adendum tersebut.
Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-BERNAMA