
PETRA JAYA: Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025, satu langkah penting bagi memperkukuh tadbir urus alam sekitar serta memacu aspirasi ekonomi kitaran.
Rang Undang-Undang berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dalam pembentangannya, Uggah menekankan bahawa Sarawak memiliki sumber biojisim yang sangat besar, termasuk sisa kilang minyak sawit, biojisim kayu, sagu, serta sisa pepejal perbandaran, yang menawarkan potensi tinggi untuk penjanaan tenaga bersih dan pembangunan industri bernilai tambah.
Melalui Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P), bioenergi dijangka menyumbang secara signifikan kepada campuran tenaga negeri menjelang 2035.
Beliau turut memaklumkan bahawa industri minyak sawit sahaja menghasilkan tandan kosong (EFB), efluen kilang minyak sawit (POME), dan tempurung isirung sawit (PKS) dalam jumlah besar setiap tahun, yang boleh dijadikan tenaga bersih serta produk berasaskan bio yang lain.
Sarawak juga sedang meneroka penggunaan biojisim secara pembakaran bersama di loji kuasa sedia ada serta potensi penukaran sisa pepejal perbandaran kepada tenaga.
Uggah menegaskan, walaupun negeri kaya dengan biojisim, tahap penggunaannya masih rendah akibat kekangan peraturan dan logistik.
Rang Undang-Undang baharu ini bertujuan menutup jurang tersebut dengan menubuhkan Pihak Berkuasa Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa.
Pihak berkuasa ini akan bertanggungjawab memastikan penggunaan dan pengurusan sumber serta sisa dilakukan secara teratur dan cekap, menggalakkan pelaburan hijau, menyelaras pelaksanaan dasar, serta melaksanakan penguatkuasaan.
Selain itu, Rang Undang-Undang ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menyediakan insentif bagi penglibatan sektor swasta, di samping memperkenalkan peruntukan jelas berkaitan kesalahan dan hukuman bagi memastikan pengurusan sumber lestari dan sisa dijalankan secara bertanggungjawab.
“Pewartaan Rang Undang-Undang ini mengukuhkan keupayaan Sarawak untuk menguruskan sumber secara bertanggungjawab, sambil membuka peluang ekonomi baharu untuk rakyat,” katanya.
“Ia mencerminkan komitmen kita terhadap kelestarian, inovasi, dan penjagaan alam sekitar.”
Kelulusan Rang Undang-Undang ini turut memperkukuh agenda lebih luas di bawah Sarawak Pelan Induk Kelestarian, Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, dan PCDS 2030.
Langkah ini sejajar dengan usaha negeri membangunkan ekonomi berdaya tahan, rendah karbon, serta memposisikan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam pengurusan sumber dan sisa lestari, selain pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Oleh Norman B.