
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Eric Tan Kim Loong, sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, membayar sejumlah AS$2.8 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya.
Hakim Mahazan Mat Taib, yang membenarkan penghakiman ingkar itu, turut memerintahkan kakak Jho Low iaitu Low May Lin membayar AS$809,319 kepada 1MDB.
Pada 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan.
Mahazan turut mengisytiharkan kedua-dua defendan sebagai pemegang amanah konstruktif bagi pihak 1MDB terhadap wang tersebut yang mereka terima, dan bahawa mereka bertanggungjawab memulangkan kesemuanya yang dianggap sebagai keuntungan rahsia yang diperoleh daripada penipuan terhadap plaintif.
“Justeru itu, kos sebanyak RM500,000 hendaklah dibayar secara bersama dan berasingan oleh kedua-dua defendan kepada plaintif,” katanya.
Beliau turut memutuskan bahawa bukti berdokumen menunjukkan bahawa Tan adalah pemilik manfaat bagi akaun Alsen Chance and Blackstone, yang menerima aliran masuk wang yang dialihkan secara salah daripada 1MDB berjumlah AS$2,795,333,000.
“Eric Tan adalah kenalan rapat Jho Low dan berperanan sebagai saluran penting dalam proses pengubahan wang haram dan penyaluran dana yang dicuri. Sifat, magnitud dan corak pemindahan wang itu menjadikan sebarang dakwaan penerimaan secara tidak bersalah adalah sama sekali tidak munasabah.
“Keterangan lanjut menunjukkan bahawa May Lin telah menerima AS$809,319 secara terus dalam akaun peribadinya melalui empat pemindahan daripada bapa Jho Low iaitu Tan Sri Larry Low Hock Peng.
“Kesemua pemindahan ini lebih kepada bersifat hadiah tanpa sebarang asas komersial serta berpunca daripada dana yang diseleweng melalui struktur Good Star Limited.
“Sebagai kakak Jho Low, peranan beliau sebagai penerima manfaat peribadi dana yang diseleweng ini jelas selari dengan corak yang lebih luas iaitu penyembunyian berasaskan keluarga,” katanya.
Seramai tiga saksi plaintif memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sehari pada 6 Oktober lepas
Kedua-dua defendan gagal memasukkan kehadiran, memfailkan pembelaan atau menghadiri prosiding perbicaraan walaupun segala dokumen berkaitan telah diserahkan.- Bernama