Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Hatta Dolmat rai kekuatan wanita melalui koleksi “The Quiet Power”
  • HIBURAN

Hatta Dolmat rai kekuatan wanita melalui koleksi “The Quiet Power”

Utusan Sarawak 4 hours ago
PERTUNJUKKAN fesyen oleh Hatta Dolmat ‘The Quiet Power’ sempena Fashionably Modest Asia (FMA) 2025 di Pavilion Damansara Heights baru-baru ini. Foto BERNAMA

UNGKAPAN “tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia” menepati gambaran wanita masa kini dalam pelbagai bidang dan aspek, membuktikan kemampuan kaum Hawa menyumbang jasa selain melakar pencapaian membanggakan. 

Dari atlet kebangsaan hinggalah sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla ke Gaza baru-baru ini, impak yang ditinggalkan oleh mereka dirasai oleh masyarakat umum, dan naratif ini menjadi inspirasi pereka fesyen tersohor Hatta Dolmat yang menterjemahkan pencapaian wanita berkenaan ke dalam koleksi santu terbaharunya.

Mengangkat tema “The Quiet Power, koleksi itu dipersembahkan di  Fashionably Modest Asia (FMA) 2025 sebagai penghormatan kepada wanita. 

Hatta, atau nama sebenarnya Muhammad Hatta Dolmat,  berkata elemen ‘quiet power’ diterjemahkan melalui pemilihan fabrik yang kukuh tetapi selesa seperti korduroi, linen dan kapas; siluet yang ringkas dan terstruktur bagi melambangkan keyakinan; serta alunan lembut pada beberapa rekaan sebagai simbol ketenangan wanita moden.

Warna merah tua pula dipilih sebagai palet utama kerana ia melambangkan eksklusiviti, selain sesuai bagi menyerlahkan identiti dan menggambarkan ketenangan serta kematangan tanpa perlu terlalu menonjol.

Bagi menyerlahkan mesej tersebut, Hatta turut membawa lapan ikon wanita untuk menghidupkan koleksi berkenaan termasuk penyanyi Zizi Kirana serta atlet Nor Farah Ain (boling padang), Isabelle Chiyi Buckley (renang) dan Siti NurSara (pendaki).

Setiap ikon diberikan kebebasan memilih busana yang paling sesuai dengan karakter dan keselesaan mereka.

“Saya tanya mereka waktu fitting, okay tak, boleh bawa tak? Kalau tak selesa kita tukar. Bila mereka selesa, barulah ‘quiet power’ itu keluar. Mereka bukan model profesional, jadi keyakinan itu penting,” katanya ketika ditemui Bernama di FMA 2025.

Koleksi itu merupakan gabungan rekaan baharu dan himpunan koleksi sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam industri, termasuk elemen daripada koleksi terdahulu berjudul Perahu Kertas yang diinterpretasi semula sebagai Perahu Kertas 2.0 agar lebih relevan dengan tuntutan fesyen semasa.

Beliau berkata proses menyiapkan 20 rekaan yang menekankan gaya sopan itu mengambil masa sekitar dua minggu dengan penglibatan hampir 15 tenaga kerja merangkumi pasukan rekaan, penggayaan dan pengurusan ikon.

Hatta menegaskan fokusnya kali ini adalah untuk membuktikan bahawa fesyen santuntiada batas, dan wanita  bertudung atau tidak tetap mampu menonjolkan ketegasan, keanggunan dan kekuatan diri melalui gaya yang sopan.

Meskipun sudah menceburi bidang fesyen selama dua dekad, Hatta mengakui berdepan beberapa cabaran dalam menyiapkan koleksinya itu terutama dalam memastikan busana kelihatan segar serta relevan.

“Cabaran terbesar adalah mengelakkan pengulangan daripada koleksi terdahulu. Sebelum ini saya ada koleksi ‘Perahu Kertas’, dan saya perlu suntik elemen baharu, warna baharu, supaya koleksi ini menonjol. Kali ini saya pilih warna burgundy (merah tua) kerana ia melambangkan eksklusiviti dan ketenangan, sesuai dengan tema pertunjukan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bekas peserta AF4, Amirul Azwan, meninggal dunia
Next: Pelakon veteran Korea Selatan Lee Soon-Jae meninggal dunia pada usia 91 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.