
PETRA JAYA: Sarawak berpotensi muncul sebagai ‘Sweden Asia’ dalam pengurusan sumber lestari dan sisa jika seluruh ekosistem kerajaan, industri dan rakyat bergerak seiring melaksanakan pembaharuan.
Mohamad Duri (Kalaka-GPS) berkata dunia kini berada pada titik kritikal, dan keupayaan mengurus sumber dengan cekap serta mengolah sisa menjadi nilai ekonomi adalah kunci kepada masa depan bumi yang selamat dan berdaya huni.
“Ini bukan angan-angan Mat Jenin. Hari ini, sisa boleh jadi ‘duit’. Biojisim saja mampu menyumbang sehingga 600 megaWatt, cukup untuk menjana elektrik kepada ratusan ribu rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 yang dibentangkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Mohamad Duri menegaskan bahawa Sarawak mempunyai sumber biojisim melimpah ruah, termasuk sisa pertanian seperti padi, kelapa sawit, tebu, jagung dan bahan buangan ladang lain, yang boleh ditukar kepada tenaga melalui biogas, pembakaran terkawal atau pelet biojisim.
Selain itu, sisa hutan yang diurus mampan serta kayu industri turut menawarkan potensi penjanaan tenaga jangka panjang, manakala sisa pepejal bandar pula dianggarkan mampu menjana 40 megaWatt.
“Sisa haiwan juga tidak boleh dipandang ringan. Industri penternakan mampu menyumbang sehingga 140 megaWatt tenaga melalui biogas,” jelasnya sambil menambah bahawa teknologi moden bukan sahaja menjana tenaga, tetapi turut mengurangkan bau, pencemaran dan risiko penyakit.
Mohamad Duri berkata beberapa negara seperti Sweden dan Jerman telah membuktikan bahawa sisa bukan lagi masalah sebaliknya peluang ekonomi yang besar.
“Sweden malah mengimport sampah dari negara lain demi memastikan loji tenaga mereka beroperasi sepenuhnya. Mereka bukan sekadar mengurus sisa, mereka menjana ekonomi daripadanya,” tegasnya.
Beliau berkata perubahan mentaliti masyarakat juga perlu diperkasakan supaya sisa tidak lagi dianggap sebagai beban, sebaliknya sumber bernilai.
RUU baharu itu, katanya, menunjukkan komitmen serius kerajaan Sarawak untuk memacu agenda kelestarian dan tenaga bersih ke peringkat lebih tinggi.
“Dengan langkah tepat, Sarawak mampu menjadi model serantau dalam pengurusan sisa dan tenaga lestari. Saya yakin kerajaan kita yang sentiasa ke depan dalam tenaga hijau mampu mengubah sisa menjadi peluang,” ujarnya.
Beliau mengakhiri ucapan dengan menegaskan bahawa usaha kolektif hari ini akan menentukan kualiti hidup anak cucu pada masa depan.
Oleh Adi Safarman