
PETRA JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak terus memperkukuh inisiatif pencegahan insiden buli serta tingkah laku berisiko melalui pelaksanaan program berasaskan komuniti yang disokong penyelidikan dan data semasa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat tetapi turut membantu komuniti mengenal pasti tanda awal tingkah laku negatif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Antara usaha yang dijalankan ialah Wacana Minda Isu Buli, sebuah platform libat urus yang mengumpulkan ibu bapa serta pendidik untuk membincangkan isu tingkah laku kanak-kanak termasuk cabaran era digital.
“Inisiatif ini memberi ruang kepada perkongsian ilmu, pengalaman serta strategi intervensi awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Selain itu, kementerian turut menggerakkan Randau Pembangunan Sosial, program turun padang bersama agensi-agensi utama bagi memberi penerangan kepada masyarakat mengenai isu sosial, pencegahan tingkah laku berisiko serta saluran rasmi untuk membuat laporan sekiranya berlaku insiden.
Rosey menegaskan bahawa kerjasama erat antara komuniti, agensi kerajaan dan institusi pendidikan amat penting dalam memastikan persekitaran yang lebih selamat bagi generasi muda.
“Kita mahu pastikan masyarakat sentiasa peka dan tahu langkah yang perlu diambil apabila berdepan tanda-tanda awal.
Usaha menangani isu buli tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan penyertaan semua pihak,” tegasnya.
Inisiatif berterusan ini dijangka memperkukuh jaringan sokongan sosial sekali gus membantu mengurangkan kes buli dan tingkah laku berisiko dalam komuniti.
Oleh Adum Liu