
PETRA JAYA: Tumbuhan sipudun yang sebelum ini dianggap sebagai rumpai biasa kini diberi nafas baharu sebagai aset strategik dalam kesihatan ternakan apabila Sarawak mula memanfaatkan biodiversitinya untuk kegunaan pertanian dan peluang ekonomi.
Perkembangan itu susulan pemeteraian memorandum persefahaman antara Majlis Biodiversiti Sarawak (SBC) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) bagi pembangunan produk antihelmintik semula jadi untuk ternakan di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata sipudun atau Picria fel-terrae, yang sejak turun-temurun dikenali dalam perubatan tradisional Bidayuh, membuktikan bagaimana flora tempatan yang terpinggir boleh ditukar menjadi aset bernilai tinggi.
“Dulu orang potong dan buang sahaja. Ia dianggap seperti rumput liar. Kini tumbuhan ini dikaji kerana potensinya dalam merawat jangkitan parasit pada ternakan, pada masa dunia berdepan isu rintangan terhadap ubat sintetik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Biodiversiti Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata sipudun tumbuh meluas di kawasan kampung seperti Semedang, Semuti dan Temurang di sepanjang Penrissen Road dan Jalan Puncak Borneo, dan kini berpeluang menyumbang kepada industri ternakan melalui penyelidikan berasaskan biodiversiti.
Sagah berkata kerajaan tidak akan membangunkan ladang besar kerana tumbuhan itu mudah tumbuh, sebaliknya menggalakkan model penanaman berasaskan komuniti.
“Kita mahu komuniti menanamnya dan menjual bahan mentah kepada SBC. Ini peluang pendapatan untuk penduduk luar bandar,” tambahnya.
Namun beliau menegaskan sipudun tidak digalakkan untuk digunakan sebagai rawatan manusia kerana tiada garis panduan dos standard.
Sementara itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata penemuan ini menyerlahkan potensi biodiversiti Sarawak dan kepentingannya kepada pasaran ternakan antarabangsa.
“Sebatian aktif sipudun sangat penting, terutama bagi negara seperti Australia dan New Zealand yang bergantung kepada rawatan antihelmintik,” katanya sambil menjelaskan tumbuhan tersebut hanya terdapat di beberapa negara Asia Tenggara.
Beliau berkata sipudun buat masa ini tidak tersenarai sebagai tumbuhan dilindungi, namun langkah regulatori akan dipertimbang sekiranya permintaan meningkat.
“Jika penyelidikan menunjukkan nilai besar dan permintaan tinggi, kita mungkin menilai keperluan untuk langkah perlindungan,” katanya.
Sagah turut memaklumkan bahawa pindaan terhadap Ordinan Kepelbagaian Biologi Sarawak akan membolehkan SBC menubuhkan cabang komersial bagi memasarkan produk dan memastikan penyertaan komuniti terus diperkukuh.
“Komuniti yang akan menanamnya, bukan kerajaan. Kami mahu mereka mendapat manfaat melalui penjanaan pendapatan dan peningkatan taraf hidup,” katanya.
Oleh Adele Rissa