Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Op Tapis Khas IPD Saratok: 113 individu ditahan sepanjang November
  • JENAYAH

Op Tapis Khas IPD Saratok: 113 individu ditahan sepanjang November

Utusan Sarawak 4 hours ago
Antara individu yang ditahan dan dituduh polis yang dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini. Foto: IPD Saratok

SARATOK: Sepanjang November, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) mencatat kejayaan besar apabila menahan dan mengambil tindakan terhadap seramai 113 individu dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata operasi bersepadu itu dijalankan secara agresif melalui pelaksanaan Op Tapis Khas di tiga kawasan tumpuan utama iaitu Saratok, Roban dan Kabong. 

Tindakan serentak ini katanya telah berjaya mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang dikesan aktif sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, tangkapan membabitkan pelbagai golongan usia, namun majoritinya terdiri daripada individu berumur antara 30 hingga 50 tahun yang disyaki terlibat secara langsung dalam penyalahgunaan dadah. 

Hasil risikan dan pemantauan turut membolehkan polis mengenal pasti beberapa lokasi panas yang sering dijadikan tempat aktiviti tidak bermoral itu.

Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, seramai 97 individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki mengambil dadah. 

Selain itu, polis turut menahan 8 individu di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 kerana disyaki sebagai pembekal. Baki selebihnya melibatkan kes di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 serta kesalahan mengikut Akta Racun 1952.

Mathew berkata, kejayaan ini membuktikan komitmen penuh PDRM dalam memastikan Daerah Saratok bebas daripada ancaman dadah yang boleh merosakkan masyarakat. 

Beliau menegaskan bahawa usaha membanteras dadah tidak akan berakhir dengan kejayaan satu operasi sahaja.

Katanya, Op Tapis Khas akan diteruskan secara Total Enforcement dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada ruang dan peluang diberikan kepada pengedar serta penagih untuk meneruskan kegiatan mereka.

IPD Saratok turut menggesa masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah. Semua maklumat boleh disampaikan terus kepada pihak polis, dan identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan sepenuhnya.

Oleh Adi Safarman

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Dua buruh ditangkap di Lawas, disyaki terlibat kes dadah
Next: Briged PGA Sarawak catat 10 operasi berjaya, rampasan RM5.08 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.